PIALA MALAYSIA 2013|PERLAWANAN PERTAMA
Lapuran oleh: Md Duang
Lapuran oleh: Md Duang
Selain sejumlah 21 gol yang terhasil sebaik
tirai Piala Malaysia disingkap malam tadi, warna warni kejohanan ini turut
diiringi drama layangan kad kuning dan merah. Antara pemain yang bernasib
malang mengutip layangan kad merah pada aksi malam ini ialah penjaga gol JDT, Al
Hafiz yang dihukum atas kesalahan menangkap bola di luar penalti pada minit ke
60. Manakala aksi sulung kumpulan C antara Pahang dan Kelantan menyaksikan
pemain Kelantan, Ahmad Fakhri Saarani menempah kad merah pada minit ke 64
setelah mengumpul dua kad kuning. Bahang perlawanan dipanaskan dengan insiden
pemain Pahang,R.Surendren yang hilang kawalan emosi bertindakbalas menendang
Daudsu setelah dikasari. Ekoran itu,pengadil tiada pilihan lain seterusnya
menghadiahkan kad merah buat Surendren pada minit 80.
Pemain Sime Darby, Togaba meraikan gol bersama rakan sepasukan | Arep Kulal |
Dalam aksi kumpulan A, Pasukan ATM tersentak
pada penampilan pertama saingan musim ini setelah dikejutkan oleh pasukan kelab
Sime Darby 3-4 dalam aksi di Stadium MP Selayang. Sime Darby pantas menyesuaikan
diri dengan mendahului 3-1 ketika tamat separuh masa pertama hasil dua gol
jaringan pemain import, Togaba Kontiwa Komlan dan satu lagi jaringan oleh
Hadzirun Che Hamid. Sime Darby meneruskan kecemerlangan melalui jaringan Fazrul
Hazli Kadri. Walaupun ketinggalan 1-4, ATM bingkas bangkit melalui jaringan Irwan
Fadzli Idrus dan Venice Elphi namun impian kebangkitan gagal direalisasikan.
Dalam satu lagi perlawanan, Selangor terikat
0-0 dengan Johor FA pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Pemain-pemain PKNS maraikan gol jaringan Patrick Ronaldinho | Radi Mohamad |
Aksi dalam Kumpulan B, Pasukan JDT dikejutkan dengan
kekalahan 0-2 kepada pasukan PKNS FC di Stadium Shah Alam dengan kedua dua gol
PKNS FC dijaringkan oleh Patrick Ronaldhino. Tambah memeritkan JDT turut
kehilangan khidmat penjaga gol, Al Hafiz setelah menerima layangan kad merah.
Manakala aksi di Stadium MP Temerloh memberi khabar gembira buat Azlan Johar
pada penampilan pertama di kem T Team selaku jurulatih. Meskipun menang tipis
1-0, ianya sudah cukup buat T Team memulakan kempen musim ini dengan nota
kemenangan.
Pertemuan gergasi pantai timur antara Pahang
dan Kelantan di Stadium Darul Makmur dalam Kumpulan C berakhir dengan seri 1-1.
Kelantan memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila mendahului melalui
jaringan ketua pasukan Badri Radzi pada minit ke-8. Rentak Kelantan terganggu
apabila Ahmad Fakri Shaarani dilayangkan kad merah pada minit ke-65 setelah
menerima dua kad kuning. Pahang bagaimanapun gagal mencari gol penyamaan
walaupun mempunyai kelebihan bilangan pemain.
Niat Pahang untuk mencuri satu mata bagaikan
berkecai apabila R.Surendran dilayangkan kad merah pada minit ke-80 selepas
bertindak menendang Daudsu selepas berlaku sedikit kekasaran ketika kedua-dua
pemain bergelut untuk menguasai bola. Namun, Damion Stewart muncul wira apabila
melayangkan badan untuk melakukan tandukan hasil dari tendangan sudut pada
minit ke-85. Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Manakala pasukan bukan pilihan, Negeri Sembilan
memberi amaran awal setelah berjaya menumpaskan pasukan Terengganu 2-0 di Kuala
Terengganu seterusnya memimpin carta kumpulan. Perlawanan ini juga menyaksikan
Abdul Manaf Mamat gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Sang Penyu
ketinggalan 0-2 seterusnya menghampakan ribuan penyokong Terengganu.
Kumpulan D menyaksikan Kedah berjaya
membuktikan keupayaan mereka setelah mengikat juara liga Super, pasukan Lions
XII dengan jaringan 2-2 di Stadium Jalan Besar. Jaringan penalti oleh Alen Guc
pada minit terakhir perlawanan membolehkan Kedah membawa pulang satu mata berharga pada
saingan pertama Piala Malaysia ini. Terdahulu Lions XII mendahului hasil
jaringan Shahril Ishak pada minit ke-16. Alen Guc menyamakan kedudukan pada
minit ke-23. Dikejutkan dengan jaringan tersebut, Lions XII menggandakan asakan
sehingga berjaya mendahului lagi melalui jaringan hasil tendangan percuma oleh
Shahfiq Ghani pada minit ke-65.
Pada perlawanan di Ipoh, pasukan Perak nyaris
dikejutkan oleh pasukan Sarawak sebelum bangkit memenangi perlawanan dengan
jaringan tipis 2-1 di Stadium Ipoh. Gol-gol Perak disumbangkan oleh penyerang
importnya, Paulo Rangel bagi membolehkan Azraai Khor menarik nafas lega.
No comments:
Post a Comment