Friday, August 30, 2013

Kita Kecundang

Pemain India meraikan kejayaan layak ke perlawanan akhir. | Zulkifly Abd Hamid


30 Ogos 2013 Ipoh : Biarpun beraksi cemerlang namun ketiadaan mendiang Chua Boon Huat cukup dirasai ketika aksi Malaysia tewas di tangan India di Ipoh sebentar tadi.

Bermula dengan cukup baik apabila 2 peluang dihadapan gol gagal disudahkan dengan cemerlang oleh penyerang negara. India yang tersentak dengan serangan tersebut terus melakukan asakan sehingga berjaya membuahkan hasil apabila pukulan sudut penalti berjaya disudahkan dengan jaya nya diminit ke 5 oleh pakar pukulan sudut penalti mereka Ragunath.

Tersentak dengan jaringan tersebut Malaysia terus menyusun kembali gerakan mereka dengan bahagian tengah negara yang diketuai oleh ketua pasukan Shahrun Nabil berjaya membuka gerakan demi gerakan bagi memecah benteng India namun penyudah yang tumpul jelas mengecewakan negara.

India yang melihat Malaysia berjaya mengawal bahagian tengah terus mengukuhkan barisan pertahanan dan sekali sekala hanya bermain serangan balas. Namun taktikal itu jelas berjaya membuatkan barisan serangan negara terus buntu dan hasil nya pada minit ke 60 serangan balas pasukan India berjaya menjaringkan gol kedua mereka oleh ayam tambatan mereka Mandeep Singh dan seterusnya menutup peluang Malaysia untuk mara ke perlawanan akhir.

Biarpun tewas namun jelas sekali perlawanan ini adalah persembahan terbaik pasukan negara didalam kejohanan kali ini. Jika tidak kerana ketumpulan barisan serangan pasti Malaysia sudah gah melangkah ke perlawanan akhir ahad ini. Kebijaksanaa mendiang Chua Boon Huat jelas cukup dirasai oleh barisan serangan negara. Jelas sekali Faizal Shaari gagal menyerlah didalam perlawanan ini mungkin kerana kawalan yang cukup ketat diterima beliau.

Perkara yang paling positif dalam kejohanan ini adalah persembahan memukau yang ditunjukkan oleh dua pemain muda negara Fitri Shaari dan Faiz Helmi.

Malaysia akan turun buat kali terakhir menentang Pakistan ahad ini bagi klasifikasi tempat ke 3/4.

Thursday, August 29, 2013

Preview Separuh Akhir Piala Asia 2013 : Malaysia VS India


Setelah mengharungi 3 perlawanan peringkat kumpulan dengan persembahan turun naik, Malaysia sekali lagi akan turun ke Stadium Azlan Shah menentang pasukan pilihan India didalam pertemuan separuh akhir esok.

Turun sebagai pasukan tuan rumah tidak langsung memberi kelebihan kepada Malaysia dek kerana tewas ditangan Pakistan diperingkat kumpulan tempoh hari. Jika dilihat pada prestasi semasa kedua dua pasukan pasti jurulatih Malaysia Paul Revington lebih "pening kepala" berbanding dengan jurulatih India. Malaysia yang melepaskan 8 gol dari 3 perlawanan cukup untuk menceritakan betapa rapuh nya pertahanan Malaysia didalam kejohanan kali ini.

Dengan persembahan tidak konsisten S Kumar di gawang pada 2 pertemuan awal peringkat kumpulan nyata seolah olah menceritakan bahawa zaman kegemilangan beliau sudah berakhir. Namun jika dilihat prestasi beliau pada separuh masa kedua bertemu Jepun diperlawanan terakhir peringkat kumpulan mungkin sedikit menarik nafas lega kepada penyokong dan barisan kejurulatihan negara dan dilihat beliau sudah kembali pada prestasi cemerlang beliau sebagai penjaga gol terbaik asia.

Barisan pertahanan yang diketuai oleh pemain berpengalaman Azlan Misron dan Razie Rahim seolah olah sedikit pun tidak mendatangkan perasaan gerun kepada barisan penyerang lawan. 2 gol oleh pasukan Taiwan pada perlawanan pertama cukup untuk membuatkan Paul Revington dan Arul Selvaraj untuk tidak senang duduk. Walaupun mendapat bantuan dari pemain yang dilabelkan salah seorang pemain yang tenang iaitu Shukri Mutalib namun ia sedikit pun tidak berjaya memantapkan lagi barisan pertahanan negara. Baljit Singh dibahagian kiri pertahanan menjadi lubuk untuk pasukan lawan menerjah masuk ke kawasan D negara. Jika Malaysia ingin bergelar juara Paul Revington wajib untuk memperbaiki bahagian ini dengan kadar segera.

Barisan Tengah pasukan negara pula dilihat seperti yoyo dalam kejohanan kali ini. Bertindak cemerlang diperlawanan pertama namun tenggelam diperlawanan kedua. Namun berjaya bangkit kembali di perlawanan ketiga bertemu Jepun tempoh hari. Dipimpin oleh ketua pasukan Shahrun Nabil serta dibantu oleh pemain paling menyerlah dalam skuad negara kali ini Fitri Shaari, diharap barisan tengah negara mampu mencipta ruang demi ruang untuk barisan hadapan merobek gawang India.

Barisan serangan negara pula agak "sepi" pada kejohanan kali ini. Walaupun 4 gol berjaya dihasilkan oleh penyerang terbaik negara Faizal Shaari, tapi jika dilihat dari segi persembahan keseluruhan, beliau agak kurang menjadi kali ini. Namun diharap prestasi beliau akan memuncak diperlawanan separuh akhir esok dan seterusnya membantu negara mencipta sejarah menjulang piala asia buat kali pertama.

Biarpun diatas kertas India dilihat lebih bernafsu tapi harus diingat harimau yang bangun tidak mungkin akan mudah mengalah. Ayuh Malaysia.. Kita buktikan Malaysia boleh dan jadikan kemenangan esok sebagai satu hadiah buat seluruh rakyat Malaysia menyambut malam kemerdekaan negara...

Wednesday, August 28, 2013

RANGKUMAN PERLAWANAN KE 3 Watsons Piala Malaysia 2013


Lapuran Oleh : Md Duang

 Patrick Ronaldinho cuba melepasi kawalan pertahanan Felda | Radi Mohamad
KUMPULAN B
T TEAM 2 JDT 3
Pasukan Harimau Selatan meneruskan momentum kemenangan setelah menewaskan T Team di Kuala Terengganu dengan kemenangan tipis 3-2 seterusnya membawa pulang tiga mata berharga.JDT mendahului pada minit ke 23 hasil jaringan Muhd Hadin.Safee Sali mengukuhkan kedudukan pada minit ke 28 hasil satu sepakan menarik.T Team tidak mudah mengalah dan berjaya merapatkan defisit jaringan pada minit ke 48 melalui Ahmad Syamim.Penyerang JDT,Norshahrul kembali meletakkan Harimau Selatan dalam kedudukan selesa apabila merembat masuk pada minit ke 60.T Team berjaya merapatkan kembali jurang melalui Fazuan Abdullah namun JDT kental bertahan sehingga wisel penamat.

PKNS 2 FELDA UNITED 0
Patrick Wleh Ronaldinho membuktikan betapa dia adalah aset penting pasukan PKNS FC apabila meledak dua gol ketika melayan kunjungan Felda United di Shah Alam.Jaringan pada minit ke 35 dan 51 sudah cukup buat anak buah Abdul Rahim Ibrahim mengumpul sembilan mata maksimum seterusnya mengungguli carta kumpulan.Felda United kekal menghuni tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

KUMPULAN A
JOHOR 3 ATM 3
Anak buah B.Satianathan melepaskan tiga mata berharga setelah diikat 3-3 oleh pasukan Johor di Pasir Gudang.Pasukan Johor terlebih dahulu mengejutkan pelawat melalui jaringan Ezaidy pada minit ke 43.Selepas itu,pasukan selatan itu mengukuhkan kedudukan hasil jaringan Farid Ideris pada minit ke 48 .Namun Shukor Adan kembali merapatkan jurang pada minit ke 53 hasil tandukan jarak dekat.The Gladiators kembali mengikatkan kedudukan hasil rembatan Marlon Alex James pada minit ke 73 .Gol tersebut ternyata membangkit semangat dan Marlon sekali lagi meledak hasil jaringan sepakan percuma cantik ke penjuru kiri lawan buat ATM di hadapan pada minit ke 79.Ketika mereka berkira kira mahu mempertahankan kelebihan itu,Johor pantas menyamakan kedudukan pada minit ke 81 melalui Hairul Nizam Hanif ekoran suasana kelam kabut di depan gawang ATM.

SIME DARBY 3 SELANGOR 0
Entah apalah malang yang melanda pasukan Selangor apabila mereka tewas lagi ketika berkunjung ke Selayang.Setelah tewas 2-3 kepada ATM di Shah Alam,pasukan The Red Giants rebah lagi dengan kekalahan 0-3 kepada Sime Darby.Biarpun Selangor terlebih dahulu menguji lawan namun penyerang import Sime Darby,Karlo Primorac membuka akaun gol pada minit ke 21 dan minit ke 29.Manakala Fazrul melenyapkan harapan Selangor apabila meledak gol ketiga perlawanan pada minit ke 72.Kemenangan ini meletakkan Sime Darby mendahului carta liga manakala Selangor merintih di dasar kumpulan.

KUMP C
PAHANG 1 TERENGGANU 1
Pemain kebangsaan,Ashari Samsudin memberi permulaan baik buat Terengganu pada aksi menentang Pahang di Stadium Darul Makmur apabila meledak gol pada minit ke 8.Namun kelebihan tersebut tidak bertahan lama Pahang berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan Matias Conti pada minit ke 13.Kedua dua pasukan saling mengasak bagi memburu gol kemenangan namun kedudukan kekal hingga wisel penamat.

N SEMBILAN 1 KELANTAN 1
Pasukan Negeri Sembilan berjaya mencuri satu mata selepas seri 1-1 ketika menerima kunjungan pasukan Kelantan di Paroi.Pasukan The Red Warriors terlebih dahulu di hadapan melalui sentuhan Dickson pada minit ke 40.Namun pasukan Sang Rusa berjaya mengikat kedudukan menerusi jaringan Fabio minit ke 59.Anak buah Ridzuan Abu Shah berpeluang mencatatkan kemenangan namun anugerah sepakan penalti dipersiakan pemainnya sebelum itu.

KUMPULAN D
KEDAH 0 SARAWAK 0
Sang Kenari gagal menggunakan kelebihan di tempat sendiri setelah hanya mampu seri 0-0 dengan pasukan Sarawak di Stadium Darul Aman.Kedua dua pasukan berpeluang namun kekal buntu memecah kebuntuan.Baddrol Bakhtiar berjaya meletakkan bola ke gawang Sarawak namun dibatalkan oleh pengadil, perlawanan kerana Khyril Muhymeen Zambri dikesan berada di dalam kedudukan "offside".Sarawak juga berpeluang melalui Bobby Gonzalez namun gagal mencetak jaringan.

Yob berjaya mengekang sang singa | Yusrie Zulkifli

PERAK 1 LIONS 0
Jaringan Azlan Ismail pada minit ke 8 sudah cukup menghantar pasukan Lions XII pulang tanpa sebarang mata dari Ipoh.Ternyata gol awal tersebut memberi kelebihan buat pasukan bimbingan Azraai Khor menghalang asakan lawan dan seterusnya mengumpul tiga mata berharga.Kekalahan kedua pasukan Lions XII menyaksikan mereka terjunam ke dasar carta kumpulan.

Tuesday, August 27, 2013

Harimau Mengaum.



27 Ogos 2013 Ipoh : Malaysia berjaya bangkit menundukkan Jepun untuk layak ke peringkat separuh akhir di Stadium Azlan Shah Ipoh sebentar tadi.

Walaupun begitu, malaysia lebih dulu di kejutkan Jepun pada minit ke 6 melalui pukulan sudut penalti. Belum pun sempat Malaysia menyusun kembali gerakan Jepun sekali lagi mengejutkan pasukan negara melalui gol padang pada minit ke 8.

Tersentak dengan jaringan tersebut anak buah Paul Revington terus bangkit menyusun kembali gerakan pasukan dan hasil nya pada minit ke 15 pakar pukulan sudut penalti negara Razie Rahim berjaya menyempurnakan pukulan untuk menghasilkan gol pertama negara.

Gol semangat itu terus memberi semangat kepada pasukan negara dan gerakan demi gerakan berjaya disusun bagi memecah benteng negara. Dua pukulan sudut penalti negara hampir membuahkan hasil namun berjaya dihalang oleh penjaga gol pasukan Jepun. Namun usaha gigih pasukan negara  membuahkan hasil apabila gol padang Firhan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 25.

Separuh masa kedua bermula dengan pasukan Jepun dilihat lebih menyerlah namun ketangkasan penjaga gol terbaik asia S Kumar berjaya menghalang pasukan Jepun dari membolosi gawang beliau. Dua aksi bertaraf dunia yang dipamerkan S Kumar cukup untuk membuatkan kem negara menarik nafas lega.

Menyedari kedudukan 2-2 belum cukup selamat, pasukan negara terus mengasak hebat kubu pasukan Jepun. Dan hasil nya Faizal Shaari berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti bagi membolehkan pasukan negara mendahului buat kali pertama pada perlawanan ini. Biar pun mendahului, pasukan negara terus tidak memberi ruang kepada pasukan Jepun untuk menyusun gerakan untuk bangkit dan di minit minit akhir perlawanan Azlan Misron berjaya meledakkan gol peribadi beliau yang pertama pada kejohanan kali ini dan seterusnya melengkapkan malam gemilang buat negara.

Paul Revington nyata mampu menarik nafas lega apabila kemenangan ini meletakkan pasukan negara layak ke separuh akhir dan seterus nya meletakkan pasukan negara di landasan yang tepat untuk menjulang Piala Asia buat kali pertama.

Walaupun diatas kertas pasukan India lebih diletakkan sebagai pasukan pilihan namun dengan semangat jitu Chua Boon Huat yang mengiringi setiap pemain negara serta sokongan padu penyokong segala nya tidak mustahil untuk pasukan negara menjinakkan pasukan India.

Tahniah Malaysia. Kekalkan semangat dan ayuh buktikan Malaysia Boleh

Monday, August 26, 2013

Langkah Sumbang

Pemain Negara Firhan gagal melepasi kawalan ketat pemain Pakistan | Zulkifly Abd Hamid

25 Ogos 2013 IPOH : Malaysia mempamerkan langkah sumbang apabila mudah ditewaskan oleh Pakistan dengan jaringan 4-1 di Stadium Azlan Shah Ipoh dalam perlawanan kedua Piala Asia edisi ke 9 semalam.

Kelonggaran barisan pertahanan pada separuh masa kedua pasti membuatkan Paul Revington gusar dan wajib memperbaiki nya dengan segara jika masih ingin bergelar juara pada kejohanan kali ini.

Aksi kedua dua pasukan pada permulaan separuh masa pertama agak seimbang walaupun sesekali pasukan Pakistan berjaya beberapa kali menembusi pertahanan Malaysia. Namun begitu pasukan Malaysia berjaya membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Rahim pada minit ke 26. Tersentak dengan jaringan itu, Pakistan terus menggandakan asakan dan mereka tidak menungu lama apabila Muhammad Zubair berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-32.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan pasukan negara terus mempamerkan aksi longgar. Dengan kekurangan idea dibarisan tengah oleh ketua pasukan Shahrun Nabil dan kelonggaran barisan pertahanan skuad negara terus di hukum pada minit ke 46 dan minit ke 60 oleh Dilber dan Waqas.

Pakistan terus mengukuhkan kedudukan melalui jaringan Syafaq Rasool pada minit ke 66 dan seterusnya mengesahkan tempat ke separuh akhir.


Jurulatih negara Paul Revington ternyata kecewa dengan kekalahan itu dan mengakui benteng pertahanan agak longgar sehingga membolehkan Pakistan mengambil kesempatan menjaringkan gol.


Beliau berkata perlawanan akhir kumpulan menentang Jepun pada Selasa ini adalah amat penting kerana kedua-dua pasukan itu mencatatkan satu kemenangan dan bersaing untuk layak ke separuh akhir.

Sunday, August 25, 2013

Presiden PBNJ mengamuk di larkin !

25 AUG 2013 KUALA LUMPUR : Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor, Tengku Mahkota Johor, Tuanku Ismail Sultan Ibrahim dilaporkan sekali lagi berang dengan mutu pengadilan pengadil perlawanan bolasepak diantara pasukan Johor Darul Takzim menentang pasukan Felda United di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus, Larkin, Johor malam tadi. 

Tindakan Tengku Mahkota Johor itu, yang dilihat turun ke kawasan laluan masuk ke bilik persalinan dan memarahi pengadil perlawanan, dirakamkan oleh peminat Johor Darul Takzim dan dimuat-naik di laman youtube sejak dari malam tadi.

Jelas, tindakan Tengku Mahkota itu yang pernah dihukum oleh Persatuan Bolasepak Malaysia kerana kelantangannya dalam mengkritik mutu pengadilan bolasepak di Malaysia dianggap tidak professional. Tindakan Tengku Mahkota itu bukan sahaja boleh menyebabkan keadaan lebih buruk ke atas keselamatan pegawai perlawanan malah menyukarkan lagi situasi pegawai perlawanan untuk mengadili perlawanan JDT pada masa akan datang. 


Ibarat kata pepatah, Pengadil ibarat mentimun, TMJ ibarat durian, apalah yang mampu dilakukan oleh Pengadil perlawanan bila berhadapan dengan situasi seperti ini. Bila TMJ sendiri gagal mengawal amarahnya, rakyat jelata pasti akan mengikut rentaknya, sebagai tanda taat setia. Mampukah disaat itu kita menjamin keselamatan pegawai perlawanan ?

Namun jika di lihat dari prespektif yang lebih besar, sudah pasti, setiap pengadil perlawanan yang ditugaskan untuk mengadili perlawanan JDT pada masa akan datang menghadapi "sindrom TMJ" yang pasti akan menyebabkan mereka tergugat dalam membuat keputusan. Apakah kita mampu menjamin keputusan yang lebih telus dalam keputusan pengadil pada perlawanan JDT pada masa akan datang? Atau keputusan yang lebih memihak kepada JDT kerana bimbang TMJ akan murka selepas perlawanan ?

Harus diingat, Pengadil juga adalah insan biasa yang tidak lari membuat keputusan. Apatah lagi keputusan perlu dibuat dalam sekelip mata mengikut pengamatan undang-undang bolasepak. Dalam situasi ini, pasti setiap insan boleh melakukan kesilapan. Namun tindakan memarahi pegawai perlawanan itu secara terbuka, apatah lagi dari seorang individu yang berpengaruh dilihat tidak wajar.

Sudah pasti ada saluran yang lebih baik boleh digunakan sekiranya isu pengadilan di pertikaikan. Dan sebagai individu paling berpengaruh, Tengku Mahkota Johor seharusnya menggunakan saluran tersebut. 

Langkah kanan

Untuk Mu Penyokong dan Chua Boon Huat | Jeffrizal

24 Ogos 2013 IPOH : Malaysia mungkin kehilangan seorang Chua Boon Huat namun semangat beliau masih bersama 18 pemain yang lain. Ini terbukti apabila Malaysia memulakan kempem Piala Asia 2013 dengan cukup bergaya apabila mudah membenam pasukan bukan pilihan Chinese Taipei dengan jaringan 10-2. Penyerang utama Negara Faizal Shaari membuktikan beliau adalah penyerang yang perlu di awasi dan di rantai rapi apabila meledakkan 3 gol malam tadi.

Pasukan Negara di kejutkan pada minit ke 5 apabila Chinese Taipei berjaya membuka jaringan perlawanan. Seperti baru terjaga dari tidur Malaysia terus bangkit dan 10 gol berjaya dihasilkan. 6 gol di separuh masa pertama sudah cukup untuk membuktikan pasukan Malaysia benar benar serius di dalam kejohanan ini. Selain Faizal, adik beliau Fitri Shaari serta Firhan juga turut mencipta nama apabila menghasilkan 2 gol. Penjaring penjaring gol Malaysia yang lain adalah Marhan, Izwan serta Nabil.

 Perlawanan malam tadi di lihat seolah seolah perlawanan pemanas badan dan Chinese Taipei bukan lah lawan sebenar Negara. Walaupun berjaya membenam lawan namun 2 gol yang dibolosi malam tadi sudah cukup untuk sedikit menggusarkan Paul Revington bagi menghadapi lawan sebenar mereka Pakistan malam ini. Pakisan yang membuka kejohanan dengan membenam Jepun 7-0 juga membuktikan yang mereka juga benar benar serius untuk membawa pulang Piala Asia ke bumi Pakistan. Malaysia dan Pakistan sudah pasti inginkan kemenangan bagi menerajui carta kumpulan A untuk mengelakkan bertemu Juara kumpulan B yang mana di lihat atas kertas akan menjadi milik Korea Selatan.

Ayuh Malaysia, Chinese Taipei kita sudah benamkan, giliran Pakistan pula wajib kita tumbangkan. Malaysia Boleh.

Rangkuman Perlawanan Kedua Saingan Peringkat Kumpulan Piala Malaysia 2013

Lapuran Oleh : Md Duang

ATM memperolehi jaringan pertama melalui Hairudin Omar | Md Azreen

Pasukan Selangor gagal mengutip tiga mata penuh dalam pemburuan misi 33 mereka apabila kecundang 2-3 di tangan ATM pada aksi di Stadium Shah Alam. The Gladiators yang tewas kepada Sime Darby tempohari, mendahului tuan rumah pada minit ke 14 sebelum Amri Yahyah menyamakan kedudukan pada minit ke 29. ATM kembali mendahului hasil jaringan Fitri Omar pada min ke-41 dan Christie Jayaseelan (46’). Biarpun S.Kunalan berjaya merapatkan defisit jaringan pada minit terakhir perlawanan namun ianya sudah terlambat untuk menghalang The Red Giants rebah di laman sendiri.

Sime Darby tewas di gelanggang sendiri | Radi Mohamad

Pasukan Sime Darby ditimpa malang apabila dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada pasukan Johor pada aksi di Stadium MP Selayang. Segar dengan kemenangan 4-3 ketika menjinakkan ATM, Sime Darby terlebih dahulu di hadapan hasil sentuhan penyerang berbisa, Karlo Primorac pada minit ke 13. Namun pasukan Johor tidak mudah mengalah apabila bangkit untuk menewaskan Sime Darby hasil jaringan Mohd Khairul Ismail dan Mohamad Izuan Jarudin.

Jaringan tunggal perlawanan oleh penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali pada min ke-72 sudah cukup memberikan tiga mata berharga kepada JDT. JDT menewaskan Felda United 1-0 sekaligus meletakkan Felda United menghuni tangga tercorot kumpulan.

Pasukan PKNS FC yang bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah berjaya membawa pulang tiga mata penuh setelah menang tipis 1-0 hasil jaringan pemain import, Roman Chamelo pada minit ke-34. Pasukan T-Team terpaksa akur dengan kekalahan ini setelah gagal bangkit mencipta jaringan. Tambah memeritkan apabila pemain importnya, George Boateng dilayang kad merah setelah mengutip dua kad kuning.

Isu pemain yang gagal ujian pertama doping pada saingan akhir Piala FA 29 Jun lalu, tidak menjejaskan momentum Kelantan apabila menewaskan Terengganu 2-0 di gelanggang sendiri. The Red Warriors tidak menunggu lama untuk memimpin perlawanan melalui penyudahan Dickson Nwakaeme pada minit ke 9. Kelantan berpeluang menjarakkan kedudukan namun Obina gagal menyempurnakan sepakan penalti. Pada minit ke 73, pemain gantian Zairo Anuar melenyapkan sisa harapan bekas pasukannya apabila menjaringkan gol cantik melalui sepakan percuma.

Pesta gol disajikan dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. Tuan rumah, Negeri Sembilan kecundang 3-5 kepada pasukan Pahang. Gol-gol Tok Gajah dijaringkan oleh Azamuddin Mohd Akil pada minit ke 23, R.Gopinathan (51’ dan 66’). Matias Ruben Conti turut mencetak nama pada minit ke 62 manakala Amirulhadi Zainal melengkap pesta jaringan pada minit ke 82. Manakala jaringan hatrik S.Sivanesan pada minit ke 48,73 dan 76 tidak cukup untuk membantu Negeri Sembilan mencatat kemenangan kedua.

Juara Liga Perdana, Sarawak mengejutkan Lions XII apabila mencatat kemenangan 2-1 di Stadium Negeri, Kuching. Pemain Lions XII menjaringkan gol sendiri melalui Shakir Hamzah pada min ke-11. Sarawak menambah gol melalui Joseph Kalang Tie. Lions XII berjaya merapatkan jurang jaringan melalui Safuwan Baharuddin.

Perak berjaya memperolehi satu mata apabila seri 1-1 dengan Kedah pada pertemuan Kumpulan D di Stadium Darul Aman.  Alen Guc muncul wira apabila menjaringkan penalty pada minit kecederaan untuk memastikan Kedah tidak berputih mata di halaman sendiri.

Saturday, August 24, 2013

Steel julang kejuaraan kali kedua ADT

Terengganu, Malaysia, August 24: Pemain Malaysia, Iain Steel, sekali lagi mencipta kejutan apabila muncul juara kejohanan golf PGM Terengganu Masters 2013 apabila mencatatkan 8pukulan di bawah par, pada hari terakhir kejohanan yang berlangsung di Resort World Kijal, Terengganu. 

Iain Steel © Arep Kulal / PGM Tour
Steel, yang muncul juara Jelajah Pembangunan Asia (ADT), Ballatine Taiwan Championship pada 2 minggu yang lalu, mengulangi cerita kejayaan beliau ketika di Taiwan, apabila sekali lagi mempamirkan permainan cemerlang walaupun bermula dari kumpulan ke empat di hadapan pendahulu kejohanan. 

Kejayaan di Terengganu melebarkan rekod kejayaan Steel apabila beliau merupakan pemain pertama yang berjaya menjuarai kejohanan golf Jelajah Pembangunan Asia dua kali berturut-turut. 

Dengan kejayaan kali kedua ini, Steel juga melonjakkan diri beliau di tempat pertama dalam senarai Order of Merit, Jelajah Pembangunan Asia. 


Keputusan Teratas :

271 – Iain STEEL (MAS) 70-68-70-63

272 – Rory HIE (INA) 69-67-71-65, Malcolm KOKOCINSKI (SWE) 71-67-67-67, Airil Rizman ZAHARI (MAS) 65-67-72-68

275 – Mhark Fernando (PHI) 72-67-71-65, Scott Barr (AUS) 68-72-69-66, Shaaban HUSSIN (MAS) 69-68-68-70

276 – Darren TAN (AUS) 65-67-76-68, Rufino BAYRON (PHI) 70-67-71-68, Grant JACKSON (ENG) 69-67-68-72

277 – Kenneth DE SILVA (MAS) 71-69-71-66, Carl SANTOS-OCAMPO (PHI) 70-69-71-67, Nabil ABDUL (AUS) 67-69-70-71

278 – Haziq HAMIZAN (MAS) 70-71-70-67, Nicholas PUA (MAS) 70-69-70-69, R. Nachimuthu (MAS) 69-73-66-70

Ends.

Friday, August 23, 2013

PERLAWANAN PILIHAN PIALA MALAYSIA 2013 MINGGU KE-2 SMO (SELANGOR VS ATM)

SELANGOR VS ATM
STADIUM SHAH ALAM | 24 OGOS 2013
MISI TIGA MATA

Aksi Selangor menentang ATM ketika peringkat Liga Super Malaysia 2013 | Md Azreen

24 Ogos 2013 - Shah Alam : Selangor yang sekadar seri 0-0 dengan pasukan liga perdana, Johor pada aksi sulung saingan Piala Malaysia tempohari, sedar hanya kemenangan menentang pasukan ATM di laman sendiri mampu memulihkan keyakinan penyokong mereka. Kini misi memburu tiga mata penting menjadi sandaran pasukan The Red Giants sebelum meneruskan misi 33 mereka. 

Walaupun gagal menjaringkan sebarang gol, Amri Yahyah masih merupakan sandaran buat Selangor untuk memburu tiga mata berharga. Namun setelah kecundang pada perlawanan pertama, ATM turut mengimpikan tiga mata berharga. Irfan Bakti pastinya menagih kesungguhan tinggi dan penyudahan berkesan anak buahnya. The Gladiators yang kecundang 3-4 kepada KL Sime Darby perlu menang untuk kembali meletakkan mereka di landasan sebenar dalam perjuangan melangkah ke peringkat akhir Piala Malaysia 2013. 

Perlawanan dijangka berlangsung sengit dengan kedua dua pasukan mempunyai peluang untuk muncul pemenang meskipun pasukan Selangor mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Demimu Chua Boon Huat.

Chua Boon Huat @ Azhari Yusop/Cornerflag

22 Ogos 2013 – Ipoh : Jurulatih hoki negara Paul Revington telah melengkapkan skuad 18 orang pemain negara bagi menghadapi kejohanan Piala Asia 2013 di Ipoh hujung minggu ini dengan menamakan Jivan Mohan dan Ramadan Rosli sebentar tadi. Ini sebagai tambahan terhadap 16 pemain sedia ada yg bermain di Liga Hoki Dunia di Johor Bharu tempoh hari.

Skuad ini di lihat sebagai skuad terbaik yang mampu untuk muncul sebagai juara pada edisi ke 9 ini. Ini kerana dengan  gawang yang di kawal oleh penjaga gol terbaik asia S Kumar serta barisan serangan yang akan diketuai oleh salah seorang  penyerang terbaik dunia Faizal Shaari sudah tentu cukup untuk menggerunkan lawan yang akan hadir pada kali ini. Kehebatan penyudah Razie Rahim dalam menyudahkan pukulan sudut penalti sudah pasti akan menjadi igauan buruk kepada mana mana jurulatih pasukan yang akan bertandang di Ipoh hujung minggu ini.

Namun persediaan skuad Negara kali ini sedikit terganggu apabila kehilangan permata berharga hoki negara lagenda mendiang Chua Boon Huat pada 1 Ogos yang lalu. Kejutan ini pada mula nya sedikit merentap semangat pemain negara namun kini para pemain negara telah melaungkan semangat bahawa mereka akan menjulang piala asia ini untuk mendiang.

Selain faktor pemain, faktor penyokong di Ipoh juga amat amat di tagih pemain. Jika mengikut sejarah mereka di Ipoh tidak pernah mengecewakan malah mendiang Chua Boon Huat pernah menyatakan apa yang menarik bermain di Stadium Sultan Azlan Shah di Ipoh adalah sorakan padu penyokong Negara yang tidak pernah padam.


AYUH MALAYSIA!!!. Tiada alasan kali ini untuk tidak menjadi juara. Buktikan di mata dunia MALAYSIA BOLEH!!!.

Thursday, August 22, 2013

Airil Rizman pendahulu bersama di Terengganu Masters 2013


Airil Rizman © Arep Kulal / PGM Tour
22 OGOS KIJAL : Pemain negara, Airil Rizman Zahari membuktikan pemain Malaysia mampu bersaing dengan pemain luar apabila berkongsi sebagai pendahulu kejohanan bersama pemain dari Australia Darren Tan dalam kejohanan golf, Terengganu Masters 2013 di Resort World Kijal, Terengganu hari ini. 

Airil, melakukan 67pukulan, -4 di bawah PAR untuk mencatatkan jumlah keseluruhan 132pukulan pada hari kedua kejohanan. 

Kejohanan Golf Terengganu Masters 2013, menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM200,000 dan merupakan salah satu kejohanan dalam Jelajah Pembangunan Asia (ADT)

Butler kutuk perlantikan Teong Kim

21 AUG 2013 - KUALA LUMPUR: Peter Butler, jurulatih kontrovesi yang kini 'digantung tidak bertali', sekali lagi menimbulkan kontrovesi apabila mengutuk perlantikan Lim Teong Kim sebagai Pengarah Pembangunan Bolasepak Negara oleh Kementerian Belia dan Sukan kelmarin. 

Dalam laman twitter beliau, Butler mengatakan perlantikan Teong Kim sebagai belian murah kerajaan Malaysia yang sudah tidak mempunyai apa-apa pilihan. Tindakan Butler mengundang marah ratusan pengikut dilaman twitter yang menganggap kenyataan beliau itu sebagai kurang tepat dan menghina Teong Kim dan kerajaan Malaysia. 

Butler terus melihatkan keegoaan diri beliau apabila terus melancarkan tweet menyelar pengikut-pengikut yang memarahi beliau dan keadaan memuncak apabila beliau tidak berpuas hati dengan kenyataan balas yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Penulis Malaysia (SAM), Sdr Ahmad Khawari Isa yang menasihatkan beliau untuk menarik balik kenyataannya dan memohon maaf. 

© sukanmalaysiaonlie
Berang dengan kenyataan Khawari, Butler melancarkan pula serangan peribadi kepada Khawari dengan menggelarkan beliau sebagai badut dan individu yang tidak layak mempertikaikan kenyataan beliau. 

Tindakan dan kenyataan Butler, yang dilabelkan sebagai antara jurulatih asing paling tidak berjaya di Malaysia, dianggap sebagai kurang ajar dan tidak boleh diterima. Puluhan 'retweet' dilancarkan untuk mengecam beliau yang terus ego mempertahankan tindakannya. 

Menurut sumber yang boleh dipercayai, Butler sebenarnya kecewa apabila beliau yang terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Sdr Khairy Jamaluddin gagal mendapat kepercayaan Khairy untuk memegang jawatan tersebut. 

Bagi Pihak Sukan Malaysia Online, kami mengecam tindakan individu asing seperti ini dan berharap satu tindakan wajar diambil kepada beliau yang biadap !


Wednesday, August 21, 2013

Rangkuman Perlawanan Pertama Piala Malaysia 2013

PIALA MALAYSIA 2013|PERLAWANAN PERTAMA
Lapuran oleh: Md Duang

Selain sejumlah 21 gol yang terhasil sebaik tirai Piala Malaysia disingkap malam tadi, warna warni kejohanan ini turut diiringi drama layangan kad kuning dan merah. Antara pemain yang bernasib malang mengutip layangan kad merah pada aksi malam ini ialah penjaga gol JDT, Al Hafiz yang dihukum atas kesalahan menangkap bola di luar penalti pada minit ke 60. Manakala aksi sulung kumpulan C antara Pahang dan Kelantan menyaksikan pemain Kelantan, Ahmad Fakhri Saarani menempah kad merah pada minit ke 64 setelah mengumpul dua kad kuning. Bahang perlawanan dipanaskan dengan insiden pemain Pahang,R.Surendren yang hilang kawalan emosi bertindakbalas menendang Daudsu setelah dikasari. Ekoran itu,pengadil tiada pilihan lain seterusnya menghadiahkan kad merah buat Surendren pada minit 80.

Pemain Sime Darby, Togaba meraikan gol bersama rakan sepasukan | Arep Kulal

Dalam aksi kumpulan A, Pasukan ATM tersentak pada penampilan pertama saingan musim ini setelah dikejutkan oleh pasukan kelab Sime Darby 3-4 dalam aksi di Stadium MP Selayang. Sime Darby pantas menyesuaikan diri dengan mendahului 3-1 ketika tamat separuh masa pertama hasil dua gol jaringan pemain import, Togaba Kontiwa Komlan dan satu lagi jaringan oleh Hadzirun Che Hamid. Sime Darby meneruskan kecemerlangan melalui jaringan Fazrul Hazli Kadri. Walaupun ketinggalan 1-4, ATM bingkas bangkit melalui jaringan Irwan Fadzli Idrus dan Venice Elphi namun impian kebangkitan gagal direalisasikan.

Dalam satu lagi perlawanan, Selangor terikat 0-0 dengan Johor FA pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Pemain-pemain PKNS maraikan gol jaringan Patrick Ronaldinho | Radi Mohamad

Aksi dalam Kumpulan B, Pasukan JDT dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada pasukan PKNS FC di Stadium Shah Alam dengan kedua dua gol PKNS FC dijaringkan oleh Patrick Ronaldhino. Tambah memeritkan JDT turut kehilangan khidmat penjaga gol, Al Hafiz setelah menerima layangan kad merah. 

Manakala aksi di Stadium MP Temerloh memberi khabar gembira buat Azlan Johar pada penampilan pertama di kem T Team selaku jurulatih. Meskipun menang tipis 1-0, ianya sudah cukup buat T Team memulakan kempen musim ini dengan nota kemenangan.

Indra Putra membuat cubaan ke arah gol Pahang | Mohd Shah

Pertemuan gergasi pantai timur antara Pahang dan Kelantan di Stadium Darul Makmur dalam Kumpulan C berakhir dengan seri 1-1. Kelantan memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila mendahului melalui jaringan ketua pasukan Badri Radzi pada minit ke-8. Rentak Kelantan terganggu apabila Ahmad Fakri Shaarani dilayangkan kad merah pada minit ke-65 setelah menerima dua kad kuning. Pahang bagaimanapun gagal mencari gol penyamaan walaupun mempunyai kelebihan bilangan pemain.

Niat Pahang untuk mencuri satu mata bagaikan berkecai apabila R.Surendran dilayangkan kad merah pada minit ke-80 selepas bertindak menendang Daudsu selepas berlaku sedikit kekasaran ketika kedua-dua pemain bergelut untuk menguasai bola. Namun, Damion Stewart muncul wira apabila melayangkan badan untuk melakukan tandukan hasil dari tendangan sudut pada minit ke-85. Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Manakala pasukan bukan pilihan, Negeri Sembilan memberi amaran awal setelah berjaya menumpaskan pasukan Terengganu 2-0 di Kuala Terengganu seterusnya memimpin carta kumpulan. Perlawanan ini juga menyaksikan Abdul Manaf Mamat gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Sang Penyu ketinggalan 0-2 seterusnya menghampakan ribuan penyokong Terengganu.

Kumpulan D menyaksikan Kedah berjaya membuktikan keupayaan mereka setelah mengikat juara liga Super, pasukan Lions XII dengan jaringan 2-2 di Stadium Jalan Besar. Jaringan penalti oleh Alen Guc pada minit terakhir perlawanan membolehkan Kedah membawa pulang satu mata berharga pada saingan pertama Piala Malaysia ini. Terdahulu Lions XII mendahului hasil jaringan Shahril Ishak pada minit ke-16. Alen Guc menyamakan kedudukan pada minit ke-23. Dikejutkan dengan jaringan tersebut, Lions XII menggandakan asakan sehingga berjaya mendahului lagi melalui jaringan hasil tendangan percuma oleh Shahfiq Ghani pada minit ke-65.

Pada perlawanan di Ipoh, pasukan Perak nyaris dikejutkan oleh pasukan Sarawak sebelum bangkit memenangi perlawanan dengan jaringan tipis 2-1 di Stadium Ipoh. Gol-gol Perak disumbangkan oleh penyerang importnya, Paulo Rangel bagi membolehkan Azraai Khor menarik nafas lega.

Tuesday, August 20, 2013

Analisa Pasukan Piala Malaysia - Kumpulan D


Lions XII © Arep Kulal
LIONS XII 
Jurulatih: V. Sundramoorthy 
Pemain Bintang: Shahril Ishak 

Status selaku juara baru liga Super meletakkan anak buah V.Sundramoorthy antara pilihan utama melepasi halangan kumpulan D. Setelah gah menawan liga Super, Lions XII pastinya bernafsu besar untuk memahat nama selaku juara Piala Malaysia. Kelebihan beraksi di padang rumput tiruan di Stadium Jalan Besar cukup memberi impak dalam cabaran mereka. Berbekalkan barisan muda dan berpengalaman, Lions XII yang cukup kebal di laman sendiri pasti tidak akan menghampakan peminat mereka. Diketuai oleh Shahril Ishak, Lions XII dijangka mendapat tentangan sengit oleh pasukan dalam kumpulan ini.




PERAK 
Jurulatih: Mohd Azraai Khor Abdullah 
Pemain Bintang: Shahrulnizam Mustapha

Perak menamatkan saingan Liga Super 2013 di anak tangga ketujuh dan pasukan Sang Seladang ini dilihat tidak konsisten dalam cabaran mereka. Selepas tersingkir awal dalam saingan Piala FA, anak buah Mohd Azraai Khor melihat saingan Piala Malaysia adalah medan terbaik untuk mereka membuktikan sesuatu. Bekas pengendali pasukan Negeri Sembilan itu akur dengan rentetan kecederaan yang melanda pemain utama mereka sehingga terpaksa bergantung harap kepada beberapa orang pemain dari skuad Piala Presiden sepanjang saingan liga Super. Pasukan Perak dijangka mampu ke peringkat suku akhir jika keseluruhan pasukan berada dalam prestasi terbaik.



SARAWAK 
Jurulatih: Robert Albert 
Pemain Bintang: Joseph Kallang Tie 

Kejayaan Sarawak muncul juara liga Premier musim ini adalah azimat terbaik buat pasukan bimbingan Robert Albert dalam mengharungi saingan Piala Malaysia. Rekod tanpa kalah sepanjang liga cukup menceritakan wibawa dan kekuatan yang ada pada pasukan Sarawak. Diperkasakan dengan kembalinya bekas pemain Terengganu,Joseph Kallang Tie dan sentuhan penyudah penyerang berbisa mereka, Bobby Gonzalez, kelibat Sarawak perlu diberi perhatian seandainya pasukan lain dalam kumpulan ini tidak mahu berputih mata.


Kedah FA © kootation.com  
 KEDAH 
Jurulatih: Datuk Ahmad Shafiee
Pemain Bintang: Khyril Muhymeen Zambry 

Pasukan Kedah terpaksa menagih kembali sentuhan bekas pengendali mereka, Datuk Ahmad Shafiee bagi membawa cabaran skuad Hijau Kuning dalam pentas Piala Malaysia kali ini. Setelah gagal dalam misi kembali ke Liga Super musim hadapan, Kedah sedar mereka bakal menempuh ranjau berliku untuk meloloskan diri dalam pertarungan peringkat kumpulan. Pasukan Kedah dilihat masih bergantung harap kepada kelibat pemain berpengalaman seperti Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Khyril Muhymeen Zambri untuk memastikan Sang Kenari mampu terbang tinggi dalam kempen musim ini.


Analisa Pasukan Piala Malaysia 2013 - Kumpulan C



The Red Warrior © Radi Yasmin
KELANTAN
Jurulatih: Bojan Hodak 
Pemain Bintang: Mohd Badri Radzi 


Selaku juara bertahan Piala Malaysia dan juara Piala FA, pasukan Kelantan sedar kegagalan melepasi peringkat kumpulan adalah satu malapetaka dalam dunia bolasepak mereka. Kehilangan penyerang berbisa pada awal musim serta kelibat pemain import yang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri menjadikan Kelantan bagaikan hilang arah. Namun, setelah keserasian dan rentak permainan kembali ditemui ketika pertengahan musim membolehkan Kelantan mempamerkan karektor sebenar pada lewat saingan Liga Super sekaligus berjaya menjuarai Piala FA. Tumpuan pasukan Red Warrior kini terarah dalam misi mempertahankan mahkota kejuaraan Piala Malaysia. Meskipun kumpulan C dianggap kumpulan paling sukar dengan kehadiran pasukan jiran tetangga, Terengganu dan Pahang namun itu bukanlah senario untuk Kelantan merasa terancam. Ketika kelibat dan kreativiti Mohd Badri Radzi semakin menjadi, Kelantan dilihat calon terbaik untuk melepasi halangan peringkat kumpulan C terutama dengan pembabitan pemain-pemain lain seperti Nik Shahrul Azim, Shakir Shaari, Ahmad Fakri Shaarani dan Norfarhan dengan pasukan kebangsaan pada perlawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini.



Pahang Darul Makmur © Mohd Shah
PAHANG 
Jurulatih: Dollah Salleh 
Pemain Bintang: Damion Stewart


Di awal musim Pahang dilihat pasukan yang bakal memberi saingan hebat dalam pentas liga Super namun cengkaman mereka mulai longgar ketika saingan Liga Super menuju ke penghujung. Walaupun berjaya mara ke peringkat separuh akhir kempen Piala FA, pasukan Tok Gajah masih tercari-cari sentuhan sebenar mereka. Prestasi penyerang mereka, Fauzi Roslan yang " merudum" sekembalinya daripada tugasan pasukan kebangsaan cukup memberi kesan ketara pada cabaran Pahang. Saingan kumpulan ini pasti hebat apabila beberapa “derby” Pantai Timur yang sering kali “panas” sudah pasti akan menjadi realiti. Perhatian Dollah Salleh pasti terarah untuk memperolehi mata ketika saingan “derby” Pantai Timur ini bagi memastikan Pahang mampu mengorak langkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini. Kembalinya tonggak pertahanan import, Damion Stewart pastinya melegakan kem Pahang.







TERENGGANU 
Jurulatih: E. Elavarasan 
Pemain Bintang: Ashari Samsudin 


Menamatkan saingan liga Super di kelompok bawahan bukanlah sesuatu yang diingini oleh peminat pasukan Sang Penyu ini. Namun itulah senario yang berlaku pada musim pertama E.Elavarasan menduduki kerusi panas selaku jurulatih pasukan Terengganu. Biarpun dibarisi oleh pemain berbakat besar dan berkemahiran tinggi seperti Ashari Samsudin,Abdul Manaf Mamat dan Ismail Faruqi, Terengganu gagal menampilkan aksi terbaik.

Kini kempen Piala Malaysia adalah platform terbaik untuk bekas juara edisi 2001 menunjukkan taring sebenar. Walaupun tanpa kelibat Ismail Faruqi yang digantung selama tiga bulan,sentuhan pemusnah penyerang import, Effa Owona pasti ditagih bagi menggegar gawang lawan. Peranan Ashari cukup berpengaruh dalam perencanaan strategi bekas pengendali Felda United itu. Terengganu berpeluang cerah untuk mara ke saingan suku akhir jika berjaya memadam cabaran lawan di gelanggang sendiri.


Shahrurain © Azhari Mohd Yusop
NEGERI SEMBILAN 
Jurulatih: Ridzuan Abu Shah
Pemain Bintang: Nazrin Nawi


Tidak banyak harapan mampu disandarkan kepada pasukan Negeri Sembilan jika diukur kepada prestasi mereka dalam saingan liga Super musim ini. Dalam saingan Liga Super 2013, Negeri Sembilan bergelut untuk mencipta kemenangan pertama yang jelas cukup memeritkan hati peminat setia. Terjerumusnya Sang Rusa ke saingan liga Premier musim hadapan menceritakan betapa inilah musim serba tidak menjadi buat mereka. 

Diundi dalam kumpulan C, sudah pasti pasukan Negeri Sembilan akan dianggap sebagai pelengkap jadual namun Negeri Sembilan mampu menghadirkan kejutan buat mana mana pasukan yang alpa. Peminat Negeri Sembilan pasti mengharapkan satu keajaiban dan peningkatan prestasi yang mendadak supaya perjuangan mereka tidak terhenti setakat di peringkat kumpulan sahaja.

Disediakan oleh : Md Duang © Sukan Malaysia Online

Monday, August 19, 2013

Analisa Pasukan Piala Malaysia 2013 - Kumpulan B


Pasukan JDT 2013 © Mohd Salme

JOHOR DARUL TAKZIM (JDT)

Jurulatih : Azmi Mohamed

Pemain Bintang : Mohd Aidil Zafuan Bin Abdul Radzak



Tampil di pentas akhir Piala FA musim ini cukup menceritakan kemampuan pasukan dari selatan tanahair. Setelah kecewa untuk menakluki Piala FA dan Liga Super, saingan Piala Malaysia adalah pentas terbaik dan terakhir buat JDT membuktikan pelaburan besar pada awal musim ini berbaloi. Diletakkan sekumpulan dengan pasukan berstatus kelab yang lain, JDT tampil selaku calon utama untuk mara ke saingan suku akhir walaupun prestasi Safiq Rahim dan Safee Sali masih belum menjadi.

Tenaga jurulatih yang baru pasti membuatkan permainan pasukan JDT menjadi tanda-tanya. Ini bakal member sedikit kelebihan kerana sudah pasti JDT akan mengejutkan saingan-saingan pada peringkat kumpulan ini. Prestasi cemerlang Mohd Aidil Zafuan dan Norshahrul ketika perlawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini pasti memberikan harapan untuk penyokong-penyokong JDT kembali ke Stadium Shah Alam bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 nanti.




Patrick Ronaldinho meraikan gol PKNS © Radi Mohamad

PKNS FC
Jurulatih: Abd Rahman Ibrahim
Pemain Bintang: Mohd Nazmi Faiz Mansor


Pasukan PKNS FC seringkali melakukan kejutan kepada pasukan-pasukan besar ketika saingan Liga Super 2013. Kembalinya Nizab Ayob dan Nazmi Faiz Mansor daripada tugasan kebangsaan bakal menjadi elemen tambahan dalam memperkasakan cabaran PKNS FC kali ini. Pasukan Semut Merah ini dilihat bakal mengisi salah satu slot ke peringkat suku akhir sekiranya tonggak utama mereka seperti Patrick Ronaldinho mampu beraksi cemerlang dalam merobek gawang lawan.


Pasukan T-Team 2013 @ Mohd Shah 

T TEAM
Jurulatih: Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor.
Pemain Bintang: Mohd Mazuki Yusof

Pasukan T Team yang terselamat daripada terhumban ke saingan liga Premier musim depan pasti menaruh harapan untuk sekurang kurangnya mengulangi pencapaian terbaik mereka mara ke peringkat separuh akhir pada tahun 2011. Namun sebelum itu pasukan berpangkalan di Kuala Terengganu ini perlu melepasi halangan peringkat kumpulan. Gandingan baru jurulatih Che Ku Marzuki dan Azlan Johar diharap mampu membawa kelab ini ke satu tahap yang membanggakan. Dijangka sukar melepasi peringkat kumpulan seandainya tiada peningkatan ketara dalam mutu persembahan mereka.





Amar Rohidan dari Pasukan Felda FC © Azhari Yusop

FELDA UNITED
Jurulatih: Azuan Zain
Pemain Bintang: Mohd Helmi Eliza Elias


Penukaran jurulatih pada penghujung saingan Liga tidak mampu menyelamatkan Felda United daripada jatuh ke kancah liga Premier. Namun Felda masih mampu melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia 2013 melalui kemenangan "play off". Namun Felda United dijangka tidak akan melakukan sebarang kejutan dan perlu menampilkan persembahan paling mantap sekiranya memasang impian untuk meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya. Melepasi peringkat kumpulan sudah cukup bermakna buat pasukan kelab ini memulihkan keyakinan dan maruah yang tercalar.


Disediakan oleh : Md Duang © Sukan Malaysia Online