Wednesday, August 7, 2013

Beregu Campuran Pulang Awal

Aksi Chan Peng dan Goh Liu dalam kejohanan di Kuala Lumpur yang lalu.
Pix © Sukan Malaysia / Arep Kulal
GUANGZHOU, 6 Ogos -- Beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal menterjemahkan aksi terpuji pada Kejohanan Badminton Dunia 2013 apabila terkandas pada pusingan kedua di sini Selasa.

Turun selaku pilihan kelima kejohanan pada saingan di Gimnasium Tianhe di sini, Peng Soon-Liu Ying gagal mempamerkan aksi terbaik mereka apabila tumpas 18-21, 19-21 kepada pasangan bukan pilihan, Kim Ki Jung-Jung Kyung Eun.

Segala-galanya tidak menjadi buat pasangan negara itu apabila mereka sejak daripada set pertama sentiasa ketinggalan kepada gandingan Korea Selatan itu.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu, Peng Soon ternyata gagal menyembunyikan kekecewaannya kerana gagal mempamerkan prestasi terbaik, malah segala yang dilakukan serba tidak menjadi.

"Kita sudah lakukan yang terbaik tetapi kecederaan yang dialami Liu Ying menjejaskan corak permainan kami. Beliau (Liu Ying) mengalami kecederaan itu semasa di Hong Kong, sehari sebelum kami datang ke sini (pada Sabtu lepas)," katanya.

Liu Ying berkata beliau bukan mahu memberi alasan di atas kekalahan itu, namun beliau terpaksa mengambil ubat penahan sakit terhadap kecederaan pada pergelangan tangan kanannya, sebelum turun ke gelanggang hari ini.

"Walaupun masih berasa sakit tetapi dalam fikiran, saya tetap mahu menang hari ini. Namun semuanya tidak menjadi," katanya.

No comments:

Post a Comment