Saturday, December 14, 2013

7 MINIT LAGI

Dharma berjaya membawa Malaysia mejadi pasukan 4 terbaik


Hanya 7 minit sahaja pemisah buat skuad remaja negara untuk mencipta sejarah layak ke perlawanan akhir Hoki Piala Dunia Remaja buat pertama kali. Namun sedikit sahaja kealpaan telah mengundang padah apabila Perancis berjaya menyamakan kedudukan dan seterusnya tewas dalam pukulan penalti setelah terikat 1-1 dalam masa penuh perlawanan.

Segala nya nampak menjadi buat skuad negara apabila mendahului perlawanan pada seawal minit ke 4 oleh Azri Hassan yang mudah menolak masuk hantaran lintang Fitri Shaari. Perancis yang seakan tersentak dengan jaringan tersebut mula menyusun gerakan namun sering dihampakan oleh kekebalan barisan pertahanan Malaysia yang diketuai oleh S Karthik.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama dan kekebalan barisan pertahanan Malaysia terus kebal diseparuh masa kedua walaupun serangan bertali arus diatur oleh pasukan Perancis. Namun sedikit kealpaan oleh barisan pertahanan negara apabila Perancis berjaya menyamakan kedudukan melalui sentuhan KIEFFER Jean-Laurent pada minit ke 63 setelah menerima hantaran lintang MARTIN BRISAC Simon. Keputusan kekal sehingga masa penuh perlawanan.

Pukulan penalti seakan menjadi milik Malaysia apabila pukulan penalti perancis yang pertama gagal menemui gawang negara manakala Faiz Helmi berjaya memperdaya penjaga gol Perancis. Tatkala keyakinan mula dirasai seakan akan perlawanan akhir milik Malaysia segalanya bertukar apabila Syamim Yusof, Firhan Ashaari dan Shahril Saabah gagal menjaringkan gol manakala Perancis berjaya menjaringkan 3 gol lagi menjadikan keputusan penuh Malaysia tunduk dengan jaringan 3-1 melalui pukulan penalti dan seterus nya hanya akan bertemu Holland dalam penentuan tempat ke 3/4.

Biarpun tewas pasukan Malaysia mencipta sejarah tersendiri selain layak ke perlawanan separuh akhir setelah 31 tahun, Pasukan negara bersama pasukan Jerman tidak pernah tewas lagi dalam perlawanan sepenuh masa. Dengan berbekalkan sasaran 6 terbaik yang diletakkan sebelum kejohanan, anak anak buah Mohd Dharmaraj Abdullah telah berjaya melepasi nya dengan akan berada sekurang kurang nya 4 terbaik dan ini suatu pencapaian yang amat amat cemerlang.

Tahniah anak anak muda Malaysia. Biarpun tewas anda kebanggaan rakyat Malaysia.

Thursday, December 12, 2013

4 TERBAIK

Pasukan negara berjaya layak ke kelompok 4 Terbaik

12 December 2013, New Delhi ; Jika sebelum ini ada suara suara sumbang yang menidakkan peluang Malaysia di kejohanan Hoki Piala Dunia ini malah meletakkan harapan supaya hanya jangan dibelasah mungkin kini boleh tertunduk diam. Ini kerana anak anak buah Mohamad Dharmaraj Abdullah telah membuktikan sebaliknya. Dengan meletakkan sasaran 6 terbaik kini mereka telah pun melangkaui sasaran tersebut apabila melayakkan diri ke perlawanan separuh akhir setelah berjaya menundukkan Korea Selatan sebentar tadi.

Dengan reputasi selaku juara asia serta menggungguli carta peringkat kumpulan namun sedikit pun tidak meresahkan pasukan Korea. Malah pasukan Korea lebih awal menguasai perlawanan. Namun penguasaan mereka berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan negara yang diketuai oleh S Karthik dan Ikhwan Hakimi. Korea Selatan berjaya memperolehi dua pukulan sudut penalti di awal permainan namun penyudah tumpul menghampakan mereka.

Seperti tersedar dari lamunan Malaysia selepas itu dilihat mula menguasai perlawanan dengan gerakan gerakan menarik mula  direncana oleh ketua pasukan negara Fitri Shaari. Usaha Malaysia membuahkan hasil apabila Shahril Saabah berjaya menghasilkan gol padang yang menarik setelah menyudahkan hantaran dari Faiz Helmi pada minit ke 18. Jaringan semangat itu telah menambahkan lagi gerakan gerakan dari pasukan negara namun sering dihampakan oleh kekebalan penjaga gol korea selatan Lee Seyoung.

Kealpaan barisan pertahanan negara dengan kerancakan menyerang ke kubu lawan telah mengundang padah apabila Korea Selatan berjaya menyamakan kedudukan pada minit 29 apabila You Seungju menyudahkan pukulan sudut penalti menumpaskan penjaga gol negara Hafizzudin Othman.

Perlawanan separuh masa kedua lebih seimbang apabila kedua dua pasukan dilihat berbalas serangan dan lebih berhati hati. Ketika perlawanan dilihat seakan akan dilanjutkan ke masa tambahan Shahril Saabah membuktikan beliau adalah bakal pakar pukulan sudut penalti bertaraf dunia apabila menyudahkan pukulan sudut penalti ke kiri gawang gol korea menumpaskan Lee Seyoung sekali lagi diminit ke 62. Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Malaysia akan bertemu perancis setelah mereka berjaya menundukkan Belgium 5-4 didalam suku akhir pertama petang tadi. Perlawanan diantara Malaysia dan Perancis akan berlangsung jam 6 petang esok.


Thursday, December 5, 2013

Skuad Sukan SEA 2013 - Sudah Nampak Bayangan

Laporan oleh: Al Zaem
Kesebelasan utama yang dipertaruhkan semasa bertemu Ryukyu FC.
Umumnya, para pemerhati dan penyokong arena bolasepak negara pastinya sudah nampak kerangka utama skuad Harimau Muda A (HM A) yang bakal memulakan cabaran di Sukan SEA 2013 yang bakal berlangsung lebih kurang seminggu dari sekarang.

Datuk Ong Kim Swee telah mencuba hampir kesemua pemain yang ada di dalam senarainya dan beberapa pemain telah menampilkan aksi yang memberansangkan. Skuad HM A bangkit setelah ketinggalan satu gol dalam aksi babak pertama untuk menewaskan FC Ryukyu 3-1 dalam aksi pemanas badan di Stadium MBPJ malam tadi.
Irfan Fazail pasti menjadi tunggak perancang skuad Harimau Muda ketika Sukan SEA 2013 nanti.
Kim Swee meletakkan Ahmad Hazwan Bakri sebagai penyerang tunggal dengan dua pemain sayap, Ashri Chuchu dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria untuk membantunya. Namun, berdasarkan apa yang dipamerkan, Hazwan Bakri dilihat gagal mencapai tahap yang diinginkan apabila gagal memanfaatkan beberapa peluang yang terhidang untuknya di depan gawang.

Antaranya pada minit ke-35 dan 37 apabila bola yang dilorongkan rakan kepadanya di kawasan gol FC Ryukyu gagal disempurnakan untuk gol pertama buat skuad HM A. Kemasukkan Thamil Arasu menggantikan Wan Zaharulnizam yang tercedera menyaksikan sedikit perubahan corak permainan yang ditampilkan HM A.

Namun, HM A lebih awal ketinggalan hasil jaringan penyerang berusia 24 tahun, Shunta Takahashi pada minit ke-14 selepas Nazmi Faiz Mansor terlepas bola di bahagian tengah padang. Lorongan cantik terus diberikan kepada Shunta melewati benteng pertahanan HM A yang ditunjangi Mohd Fadhli Shas dan Shahrul Saad menyaksikan Izham Tarmizi Roslan turut tertewas.

Aksi yang lebih baik berjaya dipamerkan HM A apabila Kim Swee merombak sedikit barisan pemain sebaik perlawanan memasuki babak kedua dengan memasukkan Rozaimi Abd Rahman di posisi penyerang dan K. Reuben di pertahanan kanan menggantikan Hazwan Bakri dan Mohd Azrif Nasrulhaq.
Gandingan Rozaimi dan Thamil Aresu berjaya membawa kemenangan kepada Harimau Muda.
Hasilnya, Rozaimi Abd Rahman berjaya menjaringkan dua gol peribadi buat HM A, masing-masing pada minit ke-50 dan ke-90 untuk meleburkan harapan FC Ryukyu menjinakkan HM A. Sebelum itu, gol penyamaan berjaya diperolehi HM A hasil tandukkan Thamil Arasu di dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Kenji Tanaka dua minit selepas aksi babak kedua dimulakan.
Rozaimi bertindak bijak untuk menjaringkan gol kedua Harimau Muda.
Sedikit menggusarkan apabila melihatkan kecederaan Thamil Arasu dan Wan Zaharulnizam yang memaksa kedua-dua pemain tersebut digantikan. HM A ketika ini sudah kehilangan beberapa tonggak akibat kecederaan jangka masa panjang antaranya pemenang anugerah Pemain Harapan dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan baru-baru ini, Junior Eldstål serta pertahanan kental Kelantan, Nik Shahrul Azim Abd Halim.
D.Savindran meraikan kejayaan Rozaimi menjaringkan gol ketiga Harimau Muda.
Kim Swee dijangka bakal mengumumkan senarai 20 pemain yang bakal membawa cabaran negara untuk cuba meraih hatrik pingat emas Sukan SEA dalam masa yang terdekat. Malaysia diundi dalam Kumpulan A yang turut diisi Singapura, Vietnam, Laos dan Brunei. Aksi sulung HM A adalah menentang Brunei pada 10 Disember ini.

Monday, December 2, 2013

Kami Yakin

Malaysia Boleh. Gambar ehsan : Jeffrizal@sportsmalaysia

30 November 2013 , Kuala Lumpur : "Kami Yakin" itulah ungkapan keyakinan diucapkan oleh pasukan hoki remaja negara bagi menghadapi kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2013 di India 6 disember ini.

Biarpun diberi sedikit tekanan oleh Persekutuan Hoki Malaysia apabila meletakkan sasaran berada di kelompok 6 terbaik namun riak wajah pemain pemain tidak sedikit pun menunjukkan sebarang keresahan.

Pengurus pasukan remaja kebangsaan Mirnawan Nawawi pula menyifatkan cuaca sejuk mungkin akan menjadi sedikit penghalang cita cita pasukan negara namun beliau yakin pemain pemain negara mampu menghadapi masalah tersebut.

Ketua jurulatih pasukan remaja, K Dharmaraj Abdullah pula menyifatkan skuad yang telah dihimpunkan nya ini selama 5 tahun lebih bersedia berbanding ketika menjuarai piala asia tahun lalu. Pemain pemain lebih matang dan dengan pengalaman ketua pasukan Fitri Shaari bersama skuad senior pasti akan memberi kelebihan kepada pasukan kebangsaan ini. Malah beliau melaungkan keyakinan bahawa pasukan ini mampu menewaskan pasukan mana sekalipun jika menampilkan aksi sebenar mereka.

Pasukan kebangsaan diraikan ketika majlis penyerahan jersi oleh penaja utama Grays di Wisma OCM sabtu lalu.

Harapan Piya

Laporan oleh : Al Zaem
Dari kiri : Baihakki Khaizan (Lions XII) , Norfarhan Muhammad (Kelantan FA),
Mohd Badhri Radzi (Kelantan FA), Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan FA),Junior Eldstål (Sarawak FA)

30 November 2013 , Shah Alam ; “Sebagai pemain, sudah tentu saya begitu teringin untuk menyarung jersi kebangsaan dan harap saya akan dipanggil pada masa akan datang,” ujar Pemain Paling Bernilai dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 100PLUS-Astro Arena-FAM 2013, Mohd Badhri Radzi.
Dalam majlis yang berlangsung di Shah Alam semalam, Mohd Badhri Radzi atau lebih dikenali dengan panggilan Piya itu turut merangkul anugerah Pemain Tengah Terbaik mengenepikan kapten Sarawak, Joseph Kallang Tie, Nurul Azwan Roya (JDT), Christee Jayaseelan (ATM) serta dua tonggak Pahang iaitu R. Gopinathan dan Amirulhadi Zainal.

Bukan sahaja Piya, malah pemenang anugerah Pemain Penyerang Terbaik, Norfarhan Muhammad juga seringkali dijadikan watak tambahan dalam skuad kebangsaan yang dibentuk sebelum ini. Jadi, nampaknya skuad kebangsaan sebenarnya telah beraksi tanpa tonggak yang sepatutnya memperkuatkan cabaran negara dalam aksi-aksi antarabangsa.

Selain itu, pemenang anugerah Pemain Harapan, Junior Eldstål yang menjadi antara tunjang kejayaan Harimau Muda A kendalian Datuk Ong Kim Swee dalam menjuarai Pestabola Merdeka 2013 yang lalu juga wajar diberikan peluang untuk memperkuatkan skuad kebangsaan.

Kim Swee sebagai pengganti sementara ataupun mungkin pengganti tetap jawatan jurulatih skuad kebangsaan perlu memastikan pemilihan pemain untuk menyarung jersi kebangsaan dilakukan selepas pemerhatian dan penelitian yang mendalam dilakukan.

Jurulatih yang membantu Pahang menamatkan penantian 21 tahun untuk merangkul Piala Malaysia, Dollah Salleh dipilih sebagai Jurulatih Terbaik mengenepikan cabaran hebat daripada V. Sundramoorthy, Bojan Hodak, B. Sathianathan, Robert Alberts serta Ismail Zakaria, jurulatih Kelab Terbaik 2013, KL Sime Darby FC.

Senarai penuh pemenang:

Pemain Paling Bernilai: Mohd Badhri Radzi (Kelantan FA)
Penjaga Gol Terbaik: Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan FA)
Pertahanan Terbaik: Baihakki Khaizan (Lions XII)
Pemain Tengah Terbaik: Mohd Badhri Radzi (Kelantan FA)
Penyerang Terbaik: Norfarhan Muhammad (Kelantan FA)
Pemain Import Terbaik: Marlon Alex James (ATM FA)
Jurulatih Terbaik: Dollah Salleh (Pahang FA)
Pemain Harapan: Junior Eldstål (Sarawak FA)
Persatuan Bolasepak Terbaik: Terengganu FA
Kelab Terbaik: KL Sime Darby FC
Kelab Penyokong Terbaik: Kelantan
Pengadil Terbaik : Nagor Amir Noor Mohamed
Penolong Pengadil Terbaik : Mohd Sabri Md Daud
Anugerah Fairplay : PDRM
Anugerah Khas:
i. Datuk Seri Paul Mony Samuel
ii. Datuk Dell Akbar Khan
iii. Datuk Seri Dr Ibrahim Saad

iv. Datuk Azzuddin Ahmad