Sunday, September 29, 2013

ISN BANTU MASYARAKAT MELALUI PROGRAM KOMUNITI


28 September 2013 - Kuala Lumpur : Institut Sukan Negara (ISN) dengan bantuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Yayasan Pencegahan Jenayah Kuala Lumpur, telah menjalankan satu program kemasyarakatan di kawasan Titiwangsa bagi memperkenalkan peranan sukan sebagai “alat ataupun medium” penting dalam aspek pembangunan dan keamanan dalam sesebuah komuniti masyarakat.
Program selama 2 tahun ini telah dilancarkan pada 28 September bertempat di Sekolah Kebangsaan St. Gabriel Jalan Perwira Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Yang Berhormat Datuk M. Saravanan serta Ahli Parlimen Titiwangsa Yang Berhormat Datuk Johari Abdul Ghani.
 
YB Datuk Saravanan menerima cenderahati daripada YB Datuk Johari
Antara objektif program seumpama ini diadakan adalah untuk mendekati komuniti masyarakat secara lebih mendalam yang juga merupakan objektif utama Tanggungjawab Sosial Masyarakat (CSR) Institut Sukan Negara (ISN). Selain itu, sukan juga kini merupakan medium untuk menyatukan masyarakat di Malaysia tidak mengira bangsa,agama dan peringkat umur.

Program ini juga dirancang untuk menjadikan sukan sebagai medium utama bagi menepis segala faktor  yang boleh menjadi penghalang sebilangan besar masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktivit sukan. Bukan itu saja, malah program itu turut dirancang untuk menjadikan sukan sebagai asas utama dalam memberi galakkan dan motivasi kepada para belia untuk melibatkan diri dalam gaya hidup sihat.

Akhir sekali, program ini juga tidak berkecuali untuk membawa sektor awam dan swasta lebih dekat dalam membantu kerajaan membangunkan peluang-peluang ekonomi baru melalui sukan seperti teknologi, infrastruktur, pembangunan pengetahuan (mewujudkan masyarakat berasaskan pengetahuan).

Antara aktiviti yang akan dijalankan ialah Medical Profiling iaitu rekod perubatan am peserta yang akan dikemaskini masuk ke pangkalan data dan kemudian dikumpulkan dan dimuat naik ke Pusat Pengurusan Digital dan Sistem Pemantauan bagi memudahkan proses rujukan dan cetakan laporan. Aktiviti kedua iaitu Baseline Assessment pula merupakan satu ujian di awal program baru di sekolah atau apabila seorang pelajar baru mula menyertainya.

Peserta program diberi penerangan oleh Atlet Karate Kebangsaan
 Terdapat juga beberapa aktiviti menarik seperti Progress Monitoring, Psycological Sports Training, Sports Specific Training dan Centralized Holiday Camp yang diterangkan lebih lanjut pada program itu.

Program kemasyarakatan ini disertai 40 pelajar sekolah dari sekitar Kuala Lumpur.

Wednesday, September 25, 2013

FINAL PIALA MENTERI PENDIDIKAN 2013 : UM LEBIH UNGGUL

FINAL PIALA MENTERI PENDIDIKAN 2013 | UM 3 UKM 1
Laporan oleh : Md Duang 

UM muncul juara Piala Menteri Pendidikan 2013 | Gambar oleh : Badlishah Mohd Ali (SAM FC)

Stadium UM Arena menjadi saksi kejayaan bermakna pasukan Universiti Malaya (UM) apabila berjaya menggondol gelaran juara Piala Menteri Pendidikan 2013 setelah bergaya menidakkan cabaran pasukan pilihan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)dengan jaringan 3-1.

Kesempatan beraksi di laman sendiri ternyata membangkitkan semangat anak buah Asnan Md Zuki yang terlebih dahulu menguji gawang UKM melalui sepakan percuma Mohd Syukor Zakaria pada minit ke 5 namun tidak menepati sasaran. Peluang terbaik hadir pada minit ke 15 namun cubaan penyerang UM, Azrol Hisham Talib ditampan penjaga gol lawan. UKM turut mempunyai peluang pada minit ke 19 namun percubaan Fitri Zaim tersasar.

UM akhirnya menemui sentuhan jaringan pada minit ke 26 setelah Mohd Syukor Zakaria tenang menyempurnakan sepakan penalti setelah Azrol Hisham dijatuhkan lawan meskipun sepakan pertama dibatalkan pengadil perlawanan. Tersentak dengan itu, pasukan UKM meningkatkan asakan namun deretan sepakan percuma gagal membuahkan hasil.

Dalam keghairahan UKM melakukan asakan demi asakan, pasukan UM berjaya melebarkan kedudukan pada minit ke 42 melalui rembatan kencang Azrol Hisham di dalam kotak penalti.

Ketinggalan dengan dua jaringan memaksa UKM memasukkan pemain kebangsaan dan ATM, K.Reuben bagi mengukuhkan cabaran mereka. K.Reuben yang beraksi selaku penyerang berjaya melakukan percubaan pada minit terakhir perlawanan namun sedikit tersasar. Kemasukan K. Reuben memberi impak segera kepada jentera serangan UKM apabila Sepakan percuma beliau pada minit ke 46 sekadar terkena tiang gol UM tatkala penjaga gol sudah tertewas.

UM terus mengukuhkan penguasaan hasil penyudahan tepat Mohd Zamri Ramli pada minit ke 48 setelah mendapat hantaran Mohd Hasbi Husain dalam kotak penalti lawan. Selepas jaringan gol tersebut, UM melonggarkan asakan dan tempo permainan pantas dikuasai UKM yang melancarkan serangan bertali arus ke gawang UM.

Usaha gigih pemain UKM akhirnya berhasil pada minit ke 75 melalui sepakan kencang Gusti Ishak dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol UM,Ahmad Syahidan Semsuddin. UKM terus memburu tambahan jaringan melalui percubaan K.Reuben dan Fitri Zaim namun aksi cemerlang penjaga gol UM nyata menghampakan mereka. Tambahan 5 minit masa kecederaan gagal digunakan oleh barisan Sulaiman Husin untuk menyekat pasukan UM muncul juara.

Tambah membanggakan,penyerang UM, Azrol Hisham telah dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan akhir. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung FAM,Datuk Hamidin Mohd Amin.


UM membawa pulang hadiah sebanyak RM 30,000 selaku juara Piala Menteri Pendidikan 2013.

Misi GAGAL


Kecewa. Pemain Malaysia tertunduk kecewa setelah gagal layak ke Separuh akhir

24 September 2013 , Bukit Jalil : Misi pasukan hoki wanita negara untuk mencapai sasaran sekurang kurang nya mara ke perlawanan separuh akhir terkandas setelah mengalami kekalahan kedua diperingkat kumpulan keatas pasukan pilihan India dengan jaringan 0-2 sebentar tadi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Biarpun pasukan India bermula dengan agak agresif di separuh masa pertama namun anak anak buah Nasihin berjaya mengekang kemaraan pasukan India dan sesekali pasukan negara berjaya melakukan serangan balas yang hampir membuahkan hasil.

Namun kubu Malaysia bocor juga akhirnya di minit 39 melalui satu jaringan padang yang cantik oleh Poonam Rani. Belum sempat Malaysia menyusun rentak India sekali lagi menghasilkan jaringan melalui penyerang harapan mereka Lily Chanu pada minit ke 46.

Pemain India gembira apabila berjaya membolosi kubu Malaysia

Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysia cuba kembali menyusun gerakan namun hampa dengan barisan penyudah yang tumpul serta kekurangan idea dibarisan tengah. Malaysia hampir dihukum dengan jaringan ke 3 oleh Lily Chanu pada minit 62 namun jaringan tersebut dibatalkan setelah pengadil perlawanan melakukan pemeriksaan semula melalui rakaman video.

Penjaga gol Malaysia Farah Ayuni cuba menyelamatkan gawang negara

Malaysia seharusnya berterima kasih kepada ketangkasan penjaga gol negara Farah Ayuni Yahya yang berjaya mengekang dan mempertahankan kubu negara dengan cemerlang dari dirobek oleh barisan penyerang India. Dengan keputusan ini Malaysia gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir dan hanya akan mampu bersaing dalam peringkat kelayakan 5/8 khamis ini.

Dalam perlawanan lain China menepati ramalan sebagai pasukan pilihan apabila berjaya membenam Hong Kong dengan jaringan 7-0. Manakala Korea Selatan berjaya membenam Taiwan 16-2 dan Jepun membenam Kazakhtan 12-0.

Monday, September 23, 2013

Kejohanan Tenis ATP Terbuka Malaysia - Impian Tidak Terlaksana

Kejohanan ATP Terbuka Malaysia akan bermula secara rasminya apabila semua saingan kelayakan tamat hari ini.

Permainan yang bakal menjadi tumpuan adalah antara dua pemain muda yang semakin meningkat naik iaitu Hyeong Chung (Korea) dan Federico Delbonis (Argentina). Delbonis mengejutkan dunia Sukan tenis apabila menewaskan Roger Federer pada peringkat separuh akhir Terbuka Hamburg tahun ini. Beliau kini menduduki carta ke 58 pemain terbaik dunia.

Chung pula adalah finalis Wimbledon Junior tahun ini dan bakal  membuat penampilan sulungnya di Terbuka Malaysia.

Peminat-peminat sukan tenis tempatan pasti menanti perlawanan antara bintang tenis Malaysia, Mohd Assri Merzuki yang akan bergandingan dengan pemain Sepanyol Pablo Carrena Busta pada pertemuan dengan pasangan Uruguay -Argentina Pablo Cuevas dan Zeballos Horatio dalam perlawanan ketiga esok. Cuevas dan Zeballos Berjaya ke peringkat separuh akhir di Terbuka Perancis tahun ini.
Mohd Assri Merzuki akan turun dalam perlawanan beregu esok.
Dalam pada itu saingan pemain Malaysia pada kategori perseorangan berakhir apabila Ashaari Zainal tidak dapat mengekalkan prestasi semalam ketika tewas kepada pemain  no.124 Matteo Viola. Ashaari yang mengimpikan untuk menggalas saingan Malaysia pada pusingan pertama kejohanan tahun ini gagal apabila tewas mudah kepada pemain dari Itali, 0-6, 1-6.
Ashaari Zainal gagal melepasi saingan kelayakan apabila tewas 0-6, 1-6 di tangan Matteo Viola.

Pasukan Hoki Wanita Malaysia Mencerahkan Peluang ke Separuh Akhir

Malaysia mencerahkan peluang untuk layak ke peringkat separuh akhir Kejohanan Hoki Wanita Piala Asia 2013 apabila menewaskan Hong Kong, 6-0. Malaysia bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga ke penghujung separuh masa pertama sebelum berjaya menjaringkan gol pertama melalui Rabiatul Adawiyah.
Malaysia menewaskan Hong Kong 6-0. | Gambar oleh : Jeffrizal Abu Jaapar
Babak separuh masa kedua menyaksikan asakan-asakan Malaysia membuahkan hasil apabila Malaysia berjaya menambah lima lagi gol melalui Fazilla Sylvester Silin (minit ke 39 dan 58), Noor Hasliza Md Ali (minit ke 61) dan dua lagi jaringan Rabiatul Adawiyah untuk melengkapkan hatrik beliau.

Rabiatul Adawiyah (no 23) berjaya menjaringkan hatrik. | Gambar oleh : Azhari Yusop
Dalam pada itu jurulatih kebangsaan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata beliau mahu skuad negara mengekalkan momentum bertenaga untuk bertemu India pada perlawanan seterusnya.
Malaysia akan turun bertemu India pada hari Selasa ini bagi menentukan pasukan manakah yang akan mengiringi Juara Bertahan, China ke peringkat separuh akhir.
China menewaskan India 1-0 dan layak ke Separuh Akhir. | Gambar oleh : Azhari Yusop
China pula menewaskan India 1-0 dalam satu lagi perlawanan kumpulan A.
Kazakhstan (merah) menewaskan Taiwan 3-0. | Gambar oleh : Azhari Yusop
Dalam saingan Kumpulan C pula menyaksikan Kazakstan menewaskan Taiwan 2-0 dan Korea Selatan menundukkan Jepun 3-0.
Jepun (merah) tewas kepada Korea Selatan 0-1. | Gambar oleh : Azhari Yusop

Sunday, September 22, 2013

Permulaan Goyah Pada Perlawanan Pertama

Malaysia memulakan saingan di dalam Kejohanan Hoki Wanita Piala Asia 2013 dengan langkah suram apabila tewas kepada China 0-3.

Malaysia tewas perlawanan pertama. | Gambar oleh : Azhari Yusop
Dalam perlawanan yang berlangsung di Padang A, Stadium Hoki Kebangsaan Bukit Jalil hari ini, pasukan Malaysia gagal menandingi permainan kemas yang dipertontonkan oleh China. Gawang gol Malaysia dibolosi pada minit ke 15 hasil jaringan Wang Mengyu. Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan Malaysia ketinggalan 0-1.

Malaysia tewas perlawanan pertama 0-3 kepada China. | Gambar oleh : Azhari Yusop
Malaysia mempertingkatkan permainan pada separuh masa kedua dalam usaha untuk mencari gol penyamaan namun kekentalan barisan pertahanan China mengagalkan asakan Malaysia. China kemudian berjaya menambah jaringan melalui Wang Mengyu (minit ke 52) dan Liang Meiyu (minit ke 68).

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A yang berlangsung di Padang B, India membelasah Hong Kong 13-0.

Korea Selatan mudah menewaskan Kazakhstan. | Gambar oleh : Azhari Yusop
Keputusan perlawanan Kumpulan B pula menyaksikan Korea Selatan menewaskan Kazakhstan 12-1 dan Jepun menewaskan Taiwan 13-0.

Korea Selatan menewaskan Kazakstan 13-0. | Gambar oleh : Azhari Yusop

Saingan Peringkat Kumpulan Piala Malaysia 2013 Berakhir

ATM FC dan Sime Darby FC berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2013 apabila keputusan seri 1-1 membolehkan ATM kekal sebagai juara kumpulan mengatasi Sime Darby dengan hanya perbezaan gol. Kedua-dua pasukan menamatkan saingan kumpulan dengan 9 mata. ATM mendahului hasil jaringan Amiridzwan Taj pada minit ke 3 namun Sime Darby menyamakan kedudukan pada minit ke 39 melalui jaringan Fahrul Razi Kamaruddin. Dalam satu lagi saingan Kumpulan A, Selangor berjaya menewaskan Johor  2-1 hasil jaringan S.Kunanlan dan Mohd Amri Yahyah namun kemenangan ini gagal memperbaiki kedudukan Selangor apabila menamatkan saingan kumpulan pada kedudukan terakhir. Gol tunggal Johor dijaringkan oleh Farid melalui tendangan penalti.
Karlo Primorac (Sime Darby) diasak oleh pertahanan pasukan ATM. | Gambar oleh : Azhari Yusop
Kumpulan B pula menyaksikan satu lagi tempat ke persaingan suku akhir Piala Malaysia diisi oleh Johot Darul Takzim (JDT) walaupun ditewaskan oleh PKNS di gelanggang sendiri. Gol-gol PKNS di Stadium Larkin dijaringkan oleh Reeshafiq Alwi (minit ke 24) dan Roman Chemelo (min ke 64). JDT layak apabila menduduki tempat kedua Kumpulan B. T-team gagal melepasi saingan peringkat kumpulan walaupun menewaskan Felda United 2-1.
Juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan berjaya menduduki kedudukan pertama dalam saingan Kumpulan C apabila menewaskan Pahang di Stadium Sultan Mohd IV dengan jaringan 4-0. Indra Putra menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke 25 sebelum penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme meledakkan hatrik pada separuh masa kedua. Pahang bagaimanapun turut layak ke saingan suku akhir Piala Malaysia 2013 apabila Negeri Sembilan sekadar seri 2-2 dengan Terengganu.   

Sarawak berjaya melangkah ke saingan suku akhir Piala Malaysia 2013 dari Kumpulan D apabila menang bergaya ke atas pasukan Perak. Sarawak menewaskan Perak 6-1 hasil jaringan hatrik dari penyerang Bosnia, Muamer Salibasic. Lain-lain gol dihasilkan oleh Khairi Kiman (gol sendiri), Bobby Gonzales dan Zamri Morshidi. Gol saguhati Perak dijaringkan oleh Yong Kuong Yong. Harapan Kedah untuk mengikut jejak langkah Juara Liga Perdana 2013 gagal menjadi kenyataan apabila ditewaskan oleh Lions XII 1-3 di Stadium Darul Aman. Kelebihan bermain di gelanggan sendiri tidak member erti apabila gol-gol hasil jaringan Hariss Harun (minit ke 24), Baihakki Khaizan (minit ke 28) dan Hafiz Sujad (minit ke 65). Kedah menjaringkan gol melalui Alen Guc pada minit ke 45.
Penyerang Kedah, Badrol Bakthiar cuba melepasi pertahanan Lions XII. | Gambar oleh : Ahmad Aki

Wednesday, September 18, 2013

Rangkuman Perlawanan Ke 5 - Watson Piala Malaysia 2013

Misi Selangor untuk mencari kejuaraan ke 33 gagal direalisasikan apabila seri 1-1 ketika berkunjung ke Stadium MP Selayang. ATM berjaya menjaring gol pendahuluan melalui jaringan penyerang berbisa, Marlon James pada minit ke-37. Mohd Fitri Shazwan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 68 namun usaha Selangor untuk layak ke peringkat suku akhir terkubur lagi. Ini adalah musim ketiga pasukan Selangor gagal meraih sebarang kejuaraan.

Penyerang ATM, Marlon Alex James meraikan jaringan ketika bertemu pasukan Selangor.  | Gambar oleh : Arep Kulal

Satu lagi perlawanan untuk kumpulan A adalah antara Johor dan Sime Darby yang berakhir dengan kedudukan 2-2. Johor mendahului 2-0 hasil jaringan Farid Ederis (min ke 14) dan Izzuan Jaruddin (3min ke 37) sebelum Sime Darby mencerahkan peluang untuk beraksi pada peringkat suku akhir melalui jaringan Azmirul Azmi (min ke 43) dan Fazrul Hazli (min ke 57).

Saingan kumpulan B menyaksikan PKNS mengesahkan laluan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2013 apabila menewaskan T-Team 5-0. Gol-gol pasukan PKNS dijaringkan oleh Roman Chmelo (min ke 20 dan 67), Patrick Ronaldinho (min ke 23 dan 29) dan Mohd Nizad Ayub pada min ke 87.

Johor Darul Takzim(JDT) pula hamper pasti menjadi satu lagi wakil Kumpulan B untuk beraksi di peringkat suku akhir apabila menewaskan Felda United 5-2. JDT kini mengumpul 9 mata dan keputusan seri pada perlawanan terakhir menentang PKNS sudah mampu mengesahkan laluan JDT ke suku akhir Piala Malaysia 2013.

Dalam saingan Kumpulan C, Terengganu gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 1-3 di tangan pasukan Kelantan. Kelantan mendahului hasil jaringan gol sendiri oleh pertahanan Terengganu, Hasmizan. Kelantan menjaringkan dua gol lagi melalui Indra Putra dan Badri Radzi sementara gol saguhati Terengganu dijaringkan oleh Ashaari Shamsuddin.

Pahang pula berjaya menewaskan N.Sembilan 3-0 di Stadium Darul Makmur hasil jaringan Matias Conti (51), R. Gopinathan (71) dan Azidan (min ke 84).

Perak pula mensia-siakan peluang mengesahkan laluan ke suku akhir Piala Malaysia 2013 apabila tewas kepada pasukan Kedah 0-1 di Stadium Perak. Kedah menjaringkan gol tunggal perlawanan melalui Nelson Martin pada minit-minit kecederaan perlawanan.  Perak kini berdepan dengan tugasan sukar untuk menewaskan Sarawak pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.


Satu lagi perlawanan Kumpulan D antara Lions XII dan Sarawak dijadualkan berlangsung pada malam esok, 18-Sep-2013.

Sunday, September 15, 2013

SYABAS HARIMAU MUDA A!

Laporan oleh : Al Zaem

Dua gol daripada pemain kelahiran Sabah, Rozaimi Abd Rahman dan Junior Eldstal telah menghadiahkan kejayaan yang bermakna buat skuad Harimau Muda A (HM A) untuk menewaskan Myanmar 2-0 dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.


Harimau Muda A - Juara Pestabola Merdeka 2013. | Gambar oleh : Mohd Shah

Harimau Muda berhak menjuarai kejohanan yang sudah memasuki edisi yang ke-41 ini berdasarkan dari semua aksi mereka sepanjang kejohanan ini berlangsung. Wan Zack Haikal Wan Nor diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir sementara Rozaimi adalah penjaring terbanyak kejohanan dengan tiga gol.

Kim Swee merombak sedikit kesebelasan utama pasukannya untuk aksi final ini dengan memasukkan Syahrul Azwari di sayap kiri dan menggandingkan A. Thamil Arasu bersama Rozaimi di jentera serangan. Junior dan Irfan Fazail yang semakin serasi pula digandingkan di posisi tengah pasukan.

Rozaimi membalas kepercayaan Ong Kim Swee yang meletakkannya dalam kesebelasan utama dengan gol pertama Harimau Muda pada minit ke-21 apabila menolak masuk bola keg awang Myanmar apabila penjaga gawang Myanmar, Pyaye Phyo Aung gagal menangkap kemas rembatan dari Wan Zack Haikal.

Pemain-pemain Harimau Muda A muncul juara Pestabola Merdeka 2013. | Gambar oleh : Mohd Shah

Memasuki babak kedua, skuad kendalian Park Sung Hwa kelihatan terdesak mencari gol penyamaan dengan beberapa siri serangan pantas ke kubu tuan rumah. Izham Tarmizi dipaksa bekerja keras di gawang untuk menggagalkan asakan lawan.

Minit ke-78, Izham Tarmizi menafikan tandukkan padu Kyaw Zayar Win di dalam kotak penalti selepas menerima hantaran lintang daripada David Htan dari sebelah kiri gol. Kyi Lin turut dilihat bekerja keras mengucar-kacirkan pertahanan HM A namun sukar untuk merobek gawang.

A. Thamil Arasu memiliki dua peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-57 dan 71 namun rembatannya diselamatkan Pyaye Phyo Aung. Fadhli Shas turut memiliki peluang pada minit ke-76 namun palang menafikan tandukkannya hasil hantaran baik Irfan dari kawasan tengah padang.

Junior Eldstal yang tidak pernah jemu mencuba daripada perlawanan pertama Pestabola Merdeka akhirnya menemui sentuhan jaringannya sebelum wisel penamat ditiup hasil gerakkan solonya yang memanfaatkan kesilapan mudah pertahanan lawan seterusnya melepaskan rembatan leret menggegar jaring lawan.

Pemain-pemain Harimau Muda A meraikan kejayaan bersama penyokong setia. | Gambar oleh : Mohd Shah

Pasukan Harimau Muda A menerima wang hadiah sejumlah USD 50,000 berserta piala kejohanan. Myanmar pula menerima hadiah USD 30,000 sebagai naib juara kejohanan, Singapura membawa pulang USD 20,000 manakala Pilihan Thailand meraih hadiah USD 10,000.

Sementara itu, Singapura menewaskan Pilihan Thailand untuk meraih tempat ketiga kejohanan pada aksi yang berlangsung di sebelah petang.

Disember ini, Myanmar pastinya menanti penuh minat skuad Ong Kim Swee di kandang sendiri untuk menggagalkan misi HM A melakukan hatrik menjuarai Sukan SEA 2013.

Saturday, September 14, 2013

PASUKAN DARI AUSTRALIA KUASAI PUSINGAN KE 5 WAITGC 2013

Oleh : Arep Kulal
Pemenang WAITGC 2013. Gambar oleh Toha Dol
LANGKAWI, 13 September 2013 : Pasukan Twin Creek Tiger dari Australia membuktikan kehebatan pasukan mereka bertarung dalam keadaan cuaca hujan dan basah di lapangan golf, Kelab Golf Gunung Raya, Langkawi, apabila muncul sebagai juara dalam Kejohanan Golf Amatur Berpasukan Dunia 2013 (WAITGC2013) pusingan ke lima anjuran Pelancongan Malaysia. 

Juara Kategori Gross, Pasukan Twin Creek dari Australia. Gambar oleh Toha Dol
Kejohanan yang dijalankan selama 4 hari disajikan dengan cuaca hujan lebat dan berangin hingga menyebabkan pertandingan terpaksa ditangguhkan beberapa kali, namun ianya tidak menjejaskan rentak permainan, George Wright, Russel Chegwyn, Brad Pullin dan Justine Wells untuk melakukan 701pukulan bagi membolehkan pasukan Twin Creek Tigers muncul juara menewaskan pasukan New Seahorses juga dari Australia yang diwakili oleh Ian Smith, Scott Evans, Alan Snowden dan Ian Howard yang melakukan 706pukulan. 

"Ianya sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Bermain di dalam hujan dan keadaan padang yang basah satu cabaran yang hebat. Kami gembira berjaya bermain dengan baik," kata Justin Wells yang juga berjaya memenangi hadiah pemain terbaik
kategori individu.
Juara Kategori Veteran, Pasukan Silver Foxes dari Australia. Gambar oleh Toha Dol
Bagi Kategori berkumpulan Veteran, pasukan Silver Foxes dari Australia yang diwakili oleh Barry Hopkins, Wei Lei Tan, Gregory Thomas dan Alvin Chai, muncul juara apabila mendapat 319 mata dihadapan satu lagi pasukan veteran dari Australia, Lakelanda Gold yang diwakili oleh Denis Goodman, Allan Stephen, Yoshio Ishita dan Greg Grieve yang mendapat 291mata. 

Kategori Stableford pula, menyaksikan pasukan Maybank dari Malaysia yang diwakili oleh Zulkefli Mohd Yusof, Kamal Izat Othman, Nor Mazlan Abdul Aziz dan Amiruddin Mustafa muncul juara apabila mengumpul 334mata keseluruhan.

Kejohanan Golf Amatur Berpasukan Dunia 2013 (WAITGC2013), anjuran Pelancongan Malaysia, diadakan sebanyak 6 pusingan dan Kuala Lumpur merupakan tuan rumah untuk pusingan ke 6 pada 7-10 October 2013. Johan dan Naib Johan setiap kategori akan melayakkan pasukan mereka secara automatik ke pusingan akhir yang akan di adakan di Kelab Golf Mines, pada 26-28 November 2013. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web http://winningmatter.com/golf.



Pertembungan Sengit Pentas Akhir

Laporan oleh : Al Zaem

Johan tiga kali Pestabola Merdeka, Myanmar bakal menjadi penghalang terakhir skuad Harimau Muda A (HM A) untuk mengecap kejayaan dalam pentas akhir Pestabola Merdeka edisi ke-41, Sabtu ini.
Pemain-pemain Malaysia maraikan gol. | Gambar oleh: MS Wan
Myanmar dan jurulatihnya, Park Sung Hwa bukanlah asing dalam aksi Pestabola Merdeka kerana kedua-duanya mempunyai sejarah masing-masing dalam kejohanan yang kini kian hilang prestijnya. Kejayaan Myanmar melangkah ke perlawanan akhir edisi 2013 adalah kemunculan ke sembilan  dan kali pertama menjulang piala ini atas nama Burma pada edisi ke-8 menewaskan India 1-0. Sementara jurulatihnya, Park Sung Hwa pula pernah memenangi tiga edisi kejohanan ini bersama Korea Selatan di antara tahun 1974-1978. Sung Hwa pasti ingin memberi kejayaan manis buat skuad bimbingannya itu yang kali terakhir memenangi kejohanan ini pada tahun 2006 apabila menewaskan Indonesia 2-1.


Awas ‘Kembar’ Tiga Myanmar
Tiga nama yang perlu diawasi benteng pertahanan yang akan diterajui Fadhli Shas ialah kapten, Kyaw Zayar Win, pemain tengah Kyi Lin dan penyerang Kyaw Ko Ko. Persamaan yang dimiliki ketiga-tiga pemain ini adalah larian pantas, kawalan bola yang baik serta kerap memberi masalah pada pertahanan lawan. Zayar Win dilihat sebagai arkitek penggerak nadi pasukan, sementara Kyi Lin pula sering mengucar-kacirkan benteng lawan. Myanmar kerap menggunakan bahagian sayap untuk memulakan serangan dan menyusup pantas masuk ke kawasan lawan. Selain itu, perhatian juga perlu diberikan kepada pemain seperti Thein Than Win, Nay Lin Tun dan David Htan.

Benteng skuad HM A tampak sedikit longgar dalam aksi sebelum ini dengan beberapa kesilapan mudah yang boleh mengundang bahaya pada penjaga gawang, Izham Tarmizi yang adakalanya terpaksa keluar untuk menyelamatkan keadaan. Walaupun cuma bolos sekali setakat ini dengan rekod kemenangan 100 peratus, persefahaman di kalangan pemain pertahanan perlu dipertingkatkan lagi untuk mengekang asakan Myanmar yang pastinya ingin memadamkan rekod kekalahan mereka dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini.


Permusuhan Era Baru
Ong Kim Swee pastinya sudah masak dengan percaturan lawannya itu apabila berjaya menyerap tekanan dan asakan Myanmar pada perlawanan peringkat kumpulan yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada HM A dengan keputusan 2-1. Perlawanan tempoh hari berlangsung dalam keadaan tegang apabila kedua-dua pasukan mempamerkan aksi keras di mana akhirnya menyaksikan Kyi Lin dilayangkan kad merah di samping Kim Swee juga dilihat bertikam lidah bersama penolong jurulatih Myanmar di luar padang.

Sengketa Malaysia-Myanmar sebenarnya bermula ketika aksi Kelayakan Piala Asia B-22 tahun, Julai lalu. Kontroversi umur sebenar kapten Myanmar, Kyaw Zayar Win yang didakwa melebihi had umur yang berbeza dengan umurnya ketika didaftarkan bersama kelabnya, Kanbawza FC. Namun, Persatuan Bolasepak Myanmar (MFF) menafikan perkara tersebut.

Skuad Kim Swee tewas 1-2 pada Myanmar ketika aksi kelayakan tersebut dan mengundang ketidakpuasan hati pelbagai pihak termasuklah Ong Kim Swee sendiri. Gol tunggal skuad HM A ketika itu dijaringkan oleh Rozaimi Abd Rahman. Walaupun sudah melewati tempoh sengketa, jelas kini pertembungan kedua-dua negara ini akan sentiasa terarah kepada sejarah kontroversi itu dan ianya membawa kepada permusuhan era baru buat kedua-dua negara.


Junior, Rozaimi, Wan Zack dan Saarvindran
Buat skuad HM A, Junior Eldstal diperlukan di jentera tengah kerana kehadirannya dalam percaturan Ong Kim Swee di kejohanan ini membuahkan hasil yang terbaik. Kehadiran Junior pada perlawanan peringkat kumpulan membuatkan Myanmar sedikit bergelut. Kemampuan Junior mengawal bola dengan baik di tengah serta berfizikal tinggi dan tegap kerap kali menggagalkan pergerakan lawan. Jelas, gandingan Irfan Fazail dan Junior adalah kombinasi yang mantap setakat ini.
Junior Eldstal mempamerkan corak permainan yang kemas dalam dua perlawanan terdahulu. | Gambar oleh: MS Wan
Malah hasil tandukkan Junior di dalam kotak penalti telah membuka ruang buat Irfan Fazail untuk menyambut dan menjaringkan gol pertama pasukan sebelum Wan Zack Haikal menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma yang menarik.

Wan Zack dan D. Saarvindran hampir pasti digunakan di bahagian sayap. Kepantasan, kelincahan serta kawalan bola yang baik kedua-dua pemain ini sentiasa menyukarkan pertahanan lawan untuk mengawal mereka. Walaubagaimanapun, Wan Zack dikhabarkan masih mengalami kecederaan.
Thamil Arasu hampir pasti akan diturunkan sebagai penyerang tunggal. | Gambar oleh: MS Wan
Sentuhan tajam Rozaimi Abd Rahman amat diperlukan HM A dan ini terbukti dengan dua gol jaringannya ketika menewaskan Pilihan Thailand. Banyak peluang menjaringkan gol disia-siakan sepanjang dua aksi sebelum ini dan mungkin kehadiran Rozaimi boleh memperbaiki situasi tersebut. Namun, Kim Swee dilihat lebih gemar menggunakan penyerang tunggal berbanding dua penyerang dan posisi itu mungkin bakal diisi A. Thamil Arasu yang setakat ini telah menjaringkan satu gol.

Pertembungan Malaysia dan Myanmar di pentas akhir Pestabola Merdeka 2013 pasti menjanjikan persaingan sengit dan inilah ‘juadah’ terbaik buat skuad HM A sebelum mula membuat persiapan ke Sukan SEA, Disember nanti dan destinasinya adalah Myanmar!

Nicol David melangkah ke Separuh Akhir

Nicole David dalam aksi menentang Low Wee Wern. Gambar oleh MS Wan
14 September 2013, Bandar Utama : Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol David membuktikan kejaguhan beliau sebagai pemain no 1 dunia apabila dengan mudah menewaskan seorang lagi pemain negara, Low Wee Wern, 11-4, 11-6, 3-11, 11-5 dalam tempoh 56 minit untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka CIMB yang berlangsung di The Curve, Bandar Utama, Selangor 

Nicol, yang masih kecewa dengan kegagalan sukan skuasy dalam pembidaan sukan olimpik 2020, bermain garang tanpa memberi ruang kepada Wee Wern untuk melawan. Asakan dan pukalan drop dan 'cross court' yang menarik mematikan langkah Wee Wern untuk bertindak balas seterusnya memberi mata-mata mudah kepada Nicole.

Dengan kemenangan di suku akhir, Nicol akan bertemu dengan Carmille Serme dari Perancis pada aksi separuh akhir. 

Nicole David dalam aksi menentang Low Wee Wern. Gambar oleh MS Wan
"Saya tidak sabar untuk satu lagi perlawanan yang baik esok, bagaimanapun Camille merupakan seorang pemain yang sukar untuk ditewaskan. Saya pastikan akan mencuba sehabis mungkin,' ujar Nicol selepas perlawanan. 

Jika Nicol berjaya di peringkat separuh akhir, usaha beliau untuk memburu kejohanan untuk kali kelapan ternyata semakin hampir. 

Semoga berjaya Nicol David !