Showing posts with label Thami Arasu. Show all posts
Showing posts with label Thami Arasu. Show all posts

Sunday, September 15, 2013

SYABAS HARIMAU MUDA A!

Laporan oleh : Al Zaem

Dua gol daripada pemain kelahiran Sabah, Rozaimi Abd Rahman dan Junior Eldstal telah menghadiahkan kejayaan yang bermakna buat skuad Harimau Muda A (HM A) untuk menewaskan Myanmar 2-0 dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.


Harimau Muda A - Juara Pestabola Merdeka 2013. | Gambar oleh : Mohd Shah

Harimau Muda berhak menjuarai kejohanan yang sudah memasuki edisi yang ke-41 ini berdasarkan dari semua aksi mereka sepanjang kejohanan ini berlangsung. Wan Zack Haikal Wan Nor diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir sementara Rozaimi adalah penjaring terbanyak kejohanan dengan tiga gol.

Kim Swee merombak sedikit kesebelasan utama pasukannya untuk aksi final ini dengan memasukkan Syahrul Azwari di sayap kiri dan menggandingkan A. Thamil Arasu bersama Rozaimi di jentera serangan. Junior dan Irfan Fazail yang semakin serasi pula digandingkan di posisi tengah pasukan.

Rozaimi membalas kepercayaan Ong Kim Swee yang meletakkannya dalam kesebelasan utama dengan gol pertama Harimau Muda pada minit ke-21 apabila menolak masuk bola keg awang Myanmar apabila penjaga gawang Myanmar, Pyaye Phyo Aung gagal menangkap kemas rembatan dari Wan Zack Haikal.

Pemain-pemain Harimau Muda A muncul juara Pestabola Merdeka 2013. | Gambar oleh : Mohd Shah

Memasuki babak kedua, skuad kendalian Park Sung Hwa kelihatan terdesak mencari gol penyamaan dengan beberapa siri serangan pantas ke kubu tuan rumah. Izham Tarmizi dipaksa bekerja keras di gawang untuk menggagalkan asakan lawan.

Minit ke-78, Izham Tarmizi menafikan tandukkan padu Kyaw Zayar Win di dalam kotak penalti selepas menerima hantaran lintang daripada David Htan dari sebelah kiri gol. Kyi Lin turut dilihat bekerja keras mengucar-kacirkan pertahanan HM A namun sukar untuk merobek gawang.

A. Thamil Arasu memiliki dua peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-57 dan 71 namun rembatannya diselamatkan Pyaye Phyo Aung. Fadhli Shas turut memiliki peluang pada minit ke-76 namun palang menafikan tandukkannya hasil hantaran baik Irfan dari kawasan tengah padang.

Junior Eldstal yang tidak pernah jemu mencuba daripada perlawanan pertama Pestabola Merdeka akhirnya menemui sentuhan jaringannya sebelum wisel penamat ditiup hasil gerakkan solonya yang memanfaatkan kesilapan mudah pertahanan lawan seterusnya melepaskan rembatan leret menggegar jaring lawan.

Pemain-pemain Harimau Muda A meraikan kejayaan bersama penyokong setia. | Gambar oleh : Mohd Shah

Pasukan Harimau Muda A menerima wang hadiah sejumlah USD 50,000 berserta piala kejohanan. Myanmar pula menerima hadiah USD 30,000 sebagai naib juara kejohanan, Singapura membawa pulang USD 20,000 manakala Pilihan Thailand meraih hadiah USD 10,000.

Sementara itu, Singapura menewaskan Pilihan Thailand untuk meraih tempat ketiga kejohanan pada aksi yang berlangsung di sebelah petang.

Disember ini, Myanmar pastinya menanti penuh minat skuad Ong Kim Swee di kandang sendiri untuk menggagalkan misi HM A melakukan hatrik menjuarai Sukan SEA 2013.

Saturday, September 7, 2013

PESTABOLA MERDEKA 2013 | MALAYSIA 1-0 SINGAPURA

Pasukan Malaysia memulakan kejohanan edisi ke 41 ini dengan cemerlang apabila menewaskan Singapura 1-0 hasil jaringan Thamil Aresu pada minit ke 46.

Thamil Arasu muncul wira pasukan Malaysia | Gambar oleh : Mohd Shah


Keadaan hujan lebat yang turun pada awal perlawanan bagaikan mengganggu rentak kedua-dua pasukan walaupun dari segi kawalan bola, Malaysia mengatasi pasukan dari seberang Tambak Johor ini. Kedudukan seri tanpa jaringan menutup babak permainan separuh masa pertama.

Namun, apa yang disuarakan oleh Ong Kim Swee ketika di bilik persalinan ternyata membuahkan hasil apabila Thamil Arasu berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit pertama separuh masa kedua.

Wan Zack Haikal beraksi baik dalam perlawanan ini | Gambar oleh : Mohd Shah

Pasukan Malaysia seharusnya mampu menjaringkan gol namun penjaga gol Singapura, Muhammad Syazwan berjaya mengekang serangan bertali arus pasukan Malaysia terutama selepas pemain pertahanan Singapura, Muhammad Afiq Yunos yang dilayangkan kad merah gara-gara menggunakan tangan untuk menghalang tandukan dari Junior Eldstal dari menerjah ke jarring pada minit ke 55.

Walaupun gagal menambah jaringan, permainan Malaysia adalah baik. Gandingan ketua pasukan, Mohd Irfan Fazail dan Junior Eldstal dilihat sangat serasi. Malaysia seterusnya akan turun berhadapan dengan pasukan Myanmar pada jam 8.45 malam, Isnin ini.