Showing posts with label Harimau Muda A. Show all posts
Showing posts with label Harimau Muda A. Show all posts

Saturday, September 14, 2013

Pertembungan Sengit Pentas Akhir

Laporan oleh : Al Zaem

Johan tiga kali Pestabola Merdeka, Myanmar bakal menjadi penghalang terakhir skuad Harimau Muda A (HM A) untuk mengecap kejayaan dalam pentas akhir Pestabola Merdeka edisi ke-41, Sabtu ini.
Pemain-pemain Malaysia maraikan gol. | Gambar oleh: MS Wan
Myanmar dan jurulatihnya, Park Sung Hwa bukanlah asing dalam aksi Pestabola Merdeka kerana kedua-duanya mempunyai sejarah masing-masing dalam kejohanan yang kini kian hilang prestijnya. Kejayaan Myanmar melangkah ke perlawanan akhir edisi 2013 adalah kemunculan ke sembilan  dan kali pertama menjulang piala ini atas nama Burma pada edisi ke-8 menewaskan India 1-0. Sementara jurulatihnya, Park Sung Hwa pula pernah memenangi tiga edisi kejohanan ini bersama Korea Selatan di antara tahun 1974-1978. Sung Hwa pasti ingin memberi kejayaan manis buat skuad bimbingannya itu yang kali terakhir memenangi kejohanan ini pada tahun 2006 apabila menewaskan Indonesia 2-1.


Awas ‘Kembar’ Tiga Myanmar
Tiga nama yang perlu diawasi benteng pertahanan yang akan diterajui Fadhli Shas ialah kapten, Kyaw Zayar Win, pemain tengah Kyi Lin dan penyerang Kyaw Ko Ko. Persamaan yang dimiliki ketiga-tiga pemain ini adalah larian pantas, kawalan bola yang baik serta kerap memberi masalah pada pertahanan lawan. Zayar Win dilihat sebagai arkitek penggerak nadi pasukan, sementara Kyi Lin pula sering mengucar-kacirkan benteng lawan. Myanmar kerap menggunakan bahagian sayap untuk memulakan serangan dan menyusup pantas masuk ke kawasan lawan. Selain itu, perhatian juga perlu diberikan kepada pemain seperti Thein Than Win, Nay Lin Tun dan David Htan.

Benteng skuad HM A tampak sedikit longgar dalam aksi sebelum ini dengan beberapa kesilapan mudah yang boleh mengundang bahaya pada penjaga gawang, Izham Tarmizi yang adakalanya terpaksa keluar untuk menyelamatkan keadaan. Walaupun cuma bolos sekali setakat ini dengan rekod kemenangan 100 peratus, persefahaman di kalangan pemain pertahanan perlu dipertingkatkan lagi untuk mengekang asakan Myanmar yang pastinya ingin memadamkan rekod kekalahan mereka dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini.


Permusuhan Era Baru
Ong Kim Swee pastinya sudah masak dengan percaturan lawannya itu apabila berjaya menyerap tekanan dan asakan Myanmar pada perlawanan peringkat kumpulan yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada HM A dengan keputusan 2-1. Perlawanan tempoh hari berlangsung dalam keadaan tegang apabila kedua-dua pasukan mempamerkan aksi keras di mana akhirnya menyaksikan Kyi Lin dilayangkan kad merah di samping Kim Swee juga dilihat bertikam lidah bersama penolong jurulatih Myanmar di luar padang.

Sengketa Malaysia-Myanmar sebenarnya bermula ketika aksi Kelayakan Piala Asia B-22 tahun, Julai lalu. Kontroversi umur sebenar kapten Myanmar, Kyaw Zayar Win yang didakwa melebihi had umur yang berbeza dengan umurnya ketika didaftarkan bersama kelabnya, Kanbawza FC. Namun, Persatuan Bolasepak Myanmar (MFF) menafikan perkara tersebut.

Skuad Kim Swee tewas 1-2 pada Myanmar ketika aksi kelayakan tersebut dan mengundang ketidakpuasan hati pelbagai pihak termasuklah Ong Kim Swee sendiri. Gol tunggal skuad HM A ketika itu dijaringkan oleh Rozaimi Abd Rahman. Walaupun sudah melewati tempoh sengketa, jelas kini pertembungan kedua-dua negara ini akan sentiasa terarah kepada sejarah kontroversi itu dan ianya membawa kepada permusuhan era baru buat kedua-dua negara.


Junior, Rozaimi, Wan Zack dan Saarvindran
Buat skuad HM A, Junior Eldstal diperlukan di jentera tengah kerana kehadirannya dalam percaturan Ong Kim Swee di kejohanan ini membuahkan hasil yang terbaik. Kehadiran Junior pada perlawanan peringkat kumpulan membuatkan Myanmar sedikit bergelut. Kemampuan Junior mengawal bola dengan baik di tengah serta berfizikal tinggi dan tegap kerap kali menggagalkan pergerakan lawan. Jelas, gandingan Irfan Fazail dan Junior adalah kombinasi yang mantap setakat ini.
Junior Eldstal mempamerkan corak permainan yang kemas dalam dua perlawanan terdahulu. | Gambar oleh: MS Wan
Malah hasil tandukkan Junior di dalam kotak penalti telah membuka ruang buat Irfan Fazail untuk menyambut dan menjaringkan gol pertama pasukan sebelum Wan Zack Haikal menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma yang menarik.

Wan Zack dan D. Saarvindran hampir pasti digunakan di bahagian sayap. Kepantasan, kelincahan serta kawalan bola yang baik kedua-dua pemain ini sentiasa menyukarkan pertahanan lawan untuk mengawal mereka. Walaubagaimanapun, Wan Zack dikhabarkan masih mengalami kecederaan.
Thamil Arasu hampir pasti akan diturunkan sebagai penyerang tunggal. | Gambar oleh: MS Wan
Sentuhan tajam Rozaimi Abd Rahman amat diperlukan HM A dan ini terbukti dengan dua gol jaringannya ketika menewaskan Pilihan Thailand. Banyak peluang menjaringkan gol disia-siakan sepanjang dua aksi sebelum ini dan mungkin kehadiran Rozaimi boleh memperbaiki situasi tersebut. Namun, Kim Swee dilihat lebih gemar menggunakan penyerang tunggal berbanding dua penyerang dan posisi itu mungkin bakal diisi A. Thamil Arasu yang setakat ini telah menjaringkan satu gol.

Pertembungan Malaysia dan Myanmar di pentas akhir Pestabola Merdeka 2013 pasti menjanjikan persaingan sengit dan inilah ‘juadah’ terbaik buat skuad HM A sebelum mula membuat persiapan ke Sukan SEA, Disember nanti dan destinasinya adalah Myanmar!

Wednesday, September 11, 2013

Langkah Bergaya Ke Final

Laporan oleh : Al Zaem

Walaupun Malaysia tidak menurunkan kesebelasan utama, pemain-pemain yang disandarkan harapan untuk meraih kemenangan adalah barisan kedua terbaik yang dimiliki Ong Kim Swee dalam Pestabola Merdeka edisi ke-41 kali ini.
Rozaimi meraikan kejayaan menjaringkan gol untuk pasukan Malaysia. : Gambar oleh : MS Wan

Skuad Harimau Muda A (HM A) meneruskan momentum kemenangan apabila mengatasi Pilihan Thailand 3-0 di Stadium Darul Makmur malam tadi. Kim Swee dilihat melakukan rombakan besar-besaran ketika turun menentang Pilihan Thailand yang turun dengan misi mahu layak ke final dengan hanya mengekalkan Izham Tarmizi di gawang, Fadhli Shas dan Zubir Azmi (pertahanan) serta D. Saarvindran di bahagian sayap.
Mohd Azrif Nasrulhaq turut mambantu serangan pasukan Malaysia. | Gambar oleh : MS Wan

Penyerang prolifik, Rozaimi Abd Rahman membalas kepercayaan Kim Swee dengan dua gol menariknya pada minit ke-27 dan 79. Dalam dua aksi sebelum ini, Kim Swee telah memberi peluang kepada A. Thamil Arasu dan penyerang Negeri Sembilan, S. Sivanesan beraksi sekali dalam perlawanan pertama menentang Singapura. Sebelum itu, Nasir Basharuddin membuka jaringan buat skuad HM A seawal minit ke-11 dengan percubaan kaki kiri dari luar kotak penalti selepas sepakan penjuru Nazirul Naim ditumbuk keluar penjaga gol lawan, Abeefaesan Ya.
Pemain-pemain Malaysia meraikan gol oleh Rozaimi. | Gambar oleh : MS Wan

Beberapa peluang untuk menjaringkan gol turut disia-siakan D. Saarvindran dan S. Sivanesan dalam perlawanan ini. Sivanesan dilihat bijak mencari ruang buat dirinya untuk melepaskan diri dari kawalan pertahanan lawan namun beberapa siri percubaan darinya sedikit tumpul Sementara pemain serba boleh, Saarvindran tampak mengambil alih peranan yang dimainkan Wan Zack Haikal yang direhatkan dengan kerap kali mengucar-kacirkan pertahanan lawan dengan larian pantas dan kawalan bolanya yang kemas.
Rozaimi mengetuai pemain-pemain Malaysia berterima kasih kepada penonton. | Gambar oleh : MS Wan

Penyerang Pilihan Thailand, Pakorn Prempak yang cemerlang dalam dua aksi sebelum ini dan turut dijangka mampu menggugat barisan anak muda negara malam ini dilihat bergelut untuk terus memberikan aksi terbaiknya dengan kawalan baik telah diberikan K. Reuben terhadapnya. Skuad kendalian Kim Swee akan turun di pentas final Sabtu ini menentang Myanmar yang mengatasi Singapura 2-0 di Stadium Mini Temerloh.

Tuesday, September 10, 2013

PESTABOLA MERDEKA 2013 | MALAYSIA 2 - 1 MYANMAR

Kuantan, 10 September 2013 : 

Pasukan Bawah-23 tahun Malaysia, mengesahkan tempat pada Perlawanan Akhir Pestabola Merdeka 2013 apabila menewaskan Myanmar 2-1 dalam perlawanan kedua malam tadi.

Malaysia yang menguasai perlawanan sejak dari awal permainan, bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pendahuluan Myanmar hasil jaringan sendiri oleh Zubir Azmi. Gol tersebut terhasil apabila tandukan Nay Lin Tun yang gagal ditampan kemas penjaga gol Malaysia terkena Zubir Azmi dan menggolek masuk ke pintu gol Malaysia. Tersentak dengan gol tersebut, pasukan Malaysia menggandakan asakan dan menyaksikan Fadzli Sas terlepas peluang yang terbuka di hadapan gol Myanmar sebelum jaringan Junior Eldstal dibatalkan pengadil.

Wan Zack Haikal meraikan gol kemenangan Malaysia pada aksi kedua menentang Myanmar
| Gambar Oleh Mohd Shah

Wan Zack Haikal turut terlepas peluang selepas tendangan percuma beliau hanya mengegarkan palang gol Myanmar. Pada minit ke 37, hasil dari umpanan cantik dari Nazmi Faiz, Wan Zack Haikal berjaya meloloskan diri dari perangkap outside Myanmar namun kawalan yang kurang baik menyebabkan Malaysia terus gagal memburu jaringan pada separuh masa perlawanan. Pasukan Malaysia terpaksa menunggu sehingga ke minit 64 sebelum menyamakan kedudukan melalui jaringan Irfan Fazail selepas menyambut tandukan dari Junior Eldstal. Ketumpulan gerakan penyudah dari barisan serangan Malaysia begitu ketara apabila Wan Zack dan Thamil Aresu mensia-siakan peluang demi peluang untuk pasukan Malaysia.

Di kala permainan seolah-olah akan berakhir dengan kedudukan seri, Wan Zack tampil penyelamat apabila melakukan tendangan lencong hasil dari sepakan percuma di luar pintu gol Myammar untuk memberikan tiga mata berharga, sekaligus mengesahkan kedudukan Malaysia pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013.

Malaysia akan bertemu Thailand pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada hari Rabu, 11 September 2013.

Saturday, September 7, 2013

PESTABOLA MERDEKA 2013 | MALAYSIA 1-0 SINGAPURA

Pasukan Malaysia memulakan kejohanan edisi ke 41 ini dengan cemerlang apabila menewaskan Singapura 1-0 hasil jaringan Thamil Aresu pada minit ke 46.

Thamil Arasu muncul wira pasukan Malaysia | Gambar oleh : Mohd Shah


Keadaan hujan lebat yang turun pada awal perlawanan bagaikan mengganggu rentak kedua-dua pasukan walaupun dari segi kawalan bola, Malaysia mengatasi pasukan dari seberang Tambak Johor ini. Kedudukan seri tanpa jaringan menutup babak permainan separuh masa pertama.

Namun, apa yang disuarakan oleh Ong Kim Swee ketika di bilik persalinan ternyata membuahkan hasil apabila Thamil Arasu berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit pertama separuh masa kedua.

Wan Zack Haikal beraksi baik dalam perlawanan ini | Gambar oleh : Mohd Shah

Pasukan Malaysia seharusnya mampu menjaringkan gol namun penjaga gol Singapura, Muhammad Syazwan berjaya mengekang serangan bertali arus pasukan Malaysia terutama selepas pemain pertahanan Singapura, Muhammad Afiq Yunos yang dilayangkan kad merah gara-gara menggunakan tangan untuk menghalang tandukan dari Junior Eldstal dari menerjah ke jarring pada minit ke 55.

Walaupun gagal menambah jaringan, permainan Malaysia adalah baik. Gandingan ketua pasukan, Mohd Irfan Fazail dan Junior Eldstal dilihat sangat serasi. Malaysia seterusnya akan turun berhadapan dengan pasukan Myanmar pada jam 8.45 malam, Isnin ini.


Friday, September 6, 2013

Pesta Bola Merdeka: Medan ujian atau medan perjuangan sebenar


Oleh : Al Zaem 

Medan terakhir Sebelum sukan sea

Jika sebelum ini, Datuk K. Rajagobal dilabel suka bereksperimen, kini tiba giliran jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee pula melakukan eksperimen ke atas skuadnya.
Kejohanan Pestabola Merdeka 2013 umpama medan persediaan skuad Harimau Muda A mempertahankan emas dalam temasya Sukan Sea di Myanmar penghujung tahun nanti.
Lebih menarik, kejohanan sepuluh hari ini turut disertai tiga pasukan serantau yang pastinya sedang rancak membuat persedian menjelang Sukan Sea iaitu Thailand, Myanmar dan seteru seberang tambak, Singapura.

Bagi pengendalinya, Ong Kim Swee, kejohanan ini membolehkannya melihat samaada anak buahnya dapat mempamerkan persefahaman, kerana seperti yang semua maklum, skuad ini akan turut dibarisi beberapa tonggak dari pasukan yang beraksi di Liga Malaysia.
Pemain-pemain ini bakal digabungkan dan keserasian serta kombinasi mereka bakal diuji dan hanya yang terbaik bakal membawa cabaran negara ke Myanmar nanti.
“Ini (Pestabola Merdeka)adalah ujian pemanas badan yang baik sebelum kita berdepan aksi sebenar di Myanmar nanti,” ujar Kim Swee sejurus pulang dari latihan pusat Harimau Muda di Eropah.

Para penyokong pastinya ingin melihat ‘buah tangan’ yang telah di bawa pulang oleh pemain-pemain ini sekembalinya mereka dari Eropah selepas hampir lima bulan berkelana.
Kim Swee tetap menegaskan yang objektif utama pasukannya adalah Sukan Sea kerana di situlah keberhasilan lima bulan latihan di Eropah dapat dinilai. Namun, Kim Swee masih memberi jaminan yang skuadnya akan memberi komitmen 100 peratus dalam kejohanan ini nanti sambil mengharapkan pemainnya dapat beraksi di tahap yang tertinggi.
 
Persiapan terkini pasukan terlibat
Singapura menghantar skuad terdiri daripada 22 pemain yang bakal diketuai oleh penjaga gawang Lions XII, Izwan Mahbud. Setelah diteliti, 12 pemain yang dibawa adalah daripada skuad Lions XII yang sedang beraksi dalam aksi Piala Malaysia 2013.
Ayeyawaddy United dan Yangon United adalah antara kelab tempatan yang menjadi ‘santapan terakhir’ skuad bawah 23 tahun Myanmar sebelum mereka mula berangkat ke Kuantan, Pahang, sabtu ini.
 
Sementara itu, Thailand dikhabarkan akan hanya menghantar pasukan yang terdiri daripada 16 pemain dari pasukan Divisyen Dua Liga Thailand (Zon Selatan), Nara United FC dan bukanlah skuad bawah 23 tahun mereka.  
 
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi dari pihak Persatuan Bolasepak Thailand mengenai perkara ini walaupun jadual perlawanan liga kelab terbabit telah diubah untuk membolehkan para pemainnya menyertai kejohanan ini.
 
Walaupun tidak menyertai kejohanan yang bakal bermula 7 September ini, Indonesia diberitakan menghantar wakilnya untuk ‘merisik’ kekuatan skuad Harimau Muda untuk persediaan mereka menjelang Sukan Sea nanti.
 
Congakkan skuad Harimau Muda A

Penjaga gol:
Tiada masalah buat Izham Tarmizi untuk menjadi pilihan utama akibat ketiadaan Farhan Abu Bakar yang tersisih akibat kecederaan.

Pengalaman Fadhli Shas amat ditagih Ong Kim Swee
Pertahanan:
Kim Swee dilihat akan meletakkan gandingan yang sama ketika beraksi di Sukan Universiti Dunia, Julai lalu, iaitu Shahrul Saad dan K. Rueben untuk bersama Fadhli Shas membentuk benteng pertahanan. Kehadiran Zubir Azmi bakal mengukuhkan benteng di sebelah kiri.
Selain itu, kredibiliti Nik Shahrul Azim dan Nazirul Naim juga tidak boleh dipertikai dan mungkin boleh tersenarai dalam kesebelasan utama sekiranya berjaya memikat hati Kim Swee.

Nazmi mampu menjadi jeneral dibahagian tengah negara
Tengah:
Di posisi tengah, kreativiti dan hantaran kemas Nazmi Faiz Mansor mungkin ditagih Kim Swee dan bakal bergandingan bersama kapten HM A, Irfan Fazail. Kim Swee juga tampak masih menguji pilihan lain seperti Junior Eldstal dari pasukan Sarawak serta gandingan Irfan di Sukan Universiti Dunia tempohari iaitu Saiful Ridzuwan.
Pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor pastinya bakal digunakan sepenuhnya untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan dengan larian pantas dan kelincahannya.
Tidak dilupakan, pemain tengah serba boleh, D. Saarvindran yang beraksi cemerlang dan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan (kecuali ketika tewas kepada Great Britain) di Kejohanan Universiti Dunia.
Turut perlu diberikan perhatian kehadiran penjaring lima gol untuk Negeri Sembilan setakat ini dalam aksi Piala Malaysia iaitu S. Sivanesan. 
Shahrul Azwari peledak harapan negara


Penyerang
Bergantung pada taktikal yang akan digunakan Kim Swee, jentera serangan tampak tiada masalah kerana memiliki banyak pilihan sekiranya diperlukan. Antaranya pilihan terbaik setakat ini adalah penjaring prolifik, Rozaimi Abd Rahman selain Thamil Arasu serta Syahrul Azwari. Kim Swee bebas menggunakan satu atau dua penyerang.