Showing posts with label persatuan bolasepak malaysia. Show all posts
Showing posts with label persatuan bolasepak malaysia. Show all posts

Sunday, September 22, 2013

Saingan Peringkat Kumpulan Piala Malaysia 2013 Berakhir

ATM FC dan Sime Darby FC berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2013 apabila keputusan seri 1-1 membolehkan ATM kekal sebagai juara kumpulan mengatasi Sime Darby dengan hanya perbezaan gol. Kedua-dua pasukan menamatkan saingan kumpulan dengan 9 mata. ATM mendahului hasil jaringan Amiridzwan Taj pada minit ke 3 namun Sime Darby menyamakan kedudukan pada minit ke 39 melalui jaringan Fahrul Razi Kamaruddin. Dalam satu lagi saingan Kumpulan A, Selangor berjaya menewaskan Johor  2-1 hasil jaringan S.Kunanlan dan Mohd Amri Yahyah namun kemenangan ini gagal memperbaiki kedudukan Selangor apabila menamatkan saingan kumpulan pada kedudukan terakhir. Gol tunggal Johor dijaringkan oleh Farid melalui tendangan penalti.
Karlo Primorac (Sime Darby) diasak oleh pertahanan pasukan ATM. | Gambar oleh : Azhari Yusop
Kumpulan B pula menyaksikan satu lagi tempat ke persaingan suku akhir Piala Malaysia diisi oleh Johot Darul Takzim (JDT) walaupun ditewaskan oleh PKNS di gelanggang sendiri. Gol-gol PKNS di Stadium Larkin dijaringkan oleh Reeshafiq Alwi (minit ke 24) dan Roman Chemelo (min ke 64). JDT layak apabila menduduki tempat kedua Kumpulan B. T-team gagal melepasi saingan peringkat kumpulan walaupun menewaskan Felda United 2-1.
Juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan berjaya menduduki kedudukan pertama dalam saingan Kumpulan C apabila menewaskan Pahang di Stadium Sultan Mohd IV dengan jaringan 4-0. Indra Putra menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke 25 sebelum penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme meledakkan hatrik pada separuh masa kedua. Pahang bagaimanapun turut layak ke saingan suku akhir Piala Malaysia 2013 apabila Negeri Sembilan sekadar seri 2-2 dengan Terengganu.   

Sarawak berjaya melangkah ke saingan suku akhir Piala Malaysia 2013 dari Kumpulan D apabila menang bergaya ke atas pasukan Perak. Sarawak menewaskan Perak 6-1 hasil jaringan hatrik dari penyerang Bosnia, Muamer Salibasic. Lain-lain gol dihasilkan oleh Khairi Kiman (gol sendiri), Bobby Gonzales dan Zamri Morshidi. Gol saguhati Perak dijaringkan oleh Yong Kuong Yong. Harapan Kedah untuk mengikut jejak langkah Juara Liga Perdana 2013 gagal menjadi kenyataan apabila ditewaskan oleh Lions XII 1-3 di Stadium Darul Aman. Kelebihan bermain di gelanggan sendiri tidak member erti apabila gol-gol hasil jaringan Hariss Harun (minit ke 24), Baihakki Khaizan (minit ke 28) dan Hafiz Sujad (minit ke 65). Kedah menjaringkan gol melalui Alen Guc pada minit ke 45.
Penyerang Kedah, Badrol Bakthiar cuba melepasi pertahanan Lions XII. | Gambar oleh : Ahmad Aki

Sunday, September 15, 2013

SYABAS HARIMAU MUDA A!

Laporan oleh : Al Zaem

Dua gol daripada pemain kelahiran Sabah, Rozaimi Abd Rahman dan Junior Eldstal telah menghadiahkan kejayaan yang bermakna buat skuad Harimau Muda A (HM A) untuk menewaskan Myanmar 2-0 dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.


Harimau Muda A - Juara Pestabola Merdeka 2013. | Gambar oleh : Mohd Shah

Harimau Muda berhak menjuarai kejohanan yang sudah memasuki edisi yang ke-41 ini berdasarkan dari semua aksi mereka sepanjang kejohanan ini berlangsung. Wan Zack Haikal Wan Nor diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir sementara Rozaimi adalah penjaring terbanyak kejohanan dengan tiga gol.

Kim Swee merombak sedikit kesebelasan utama pasukannya untuk aksi final ini dengan memasukkan Syahrul Azwari di sayap kiri dan menggandingkan A. Thamil Arasu bersama Rozaimi di jentera serangan. Junior dan Irfan Fazail yang semakin serasi pula digandingkan di posisi tengah pasukan.

Rozaimi membalas kepercayaan Ong Kim Swee yang meletakkannya dalam kesebelasan utama dengan gol pertama Harimau Muda pada minit ke-21 apabila menolak masuk bola keg awang Myanmar apabila penjaga gawang Myanmar, Pyaye Phyo Aung gagal menangkap kemas rembatan dari Wan Zack Haikal.

Pemain-pemain Harimau Muda A muncul juara Pestabola Merdeka 2013. | Gambar oleh : Mohd Shah

Memasuki babak kedua, skuad kendalian Park Sung Hwa kelihatan terdesak mencari gol penyamaan dengan beberapa siri serangan pantas ke kubu tuan rumah. Izham Tarmizi dipaksa bekerja keras di gawang untuk menggagalkan asakan lawan.

Minit ke-78, Izham Tarmizi menafikan tandukkan padu Kyaw Zayar Win di dalam kotak penalti selepas menerima hantaran lintang daripada David Htan dari sebelah kiri gol. Kyi Lin turut dilihat bekerja keras mengucar-kacirkan pertahanan HM A namun sukar untuk merobek gawang.

A. Thamil Arasu memiliki dua peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-57 dan 71 namun rembatannya diselamatkan Pyaye Phyo Aung. Fadhli Shas turut memiliki peluang pada minit ke-76 namun palang menafikan tandukkannya hasil hantaran baik Irfan dari kawasan tengah padang.

Junior Eldstal yang tidak pernah jemu mencuba daripada perlawanan pertama Pestabola Merdeka akhirnya menemui sentuhan jaringannya sebelum wisel penamat ditiup hasil gerakkan solonya yang memanfaatkan kesilapan mudah pertahanan lawan seterusnya melepaskan rembatan leret menggegar jaring lawan.

Pemain-pemain Harimau Muda A meraikan kejayaan bersama penyokong setia. | Gambar oleh : Mohd Shah

Pasukan Harimau Muda A menerima wang hadiah sejumlah USD 50,000 berserta piala kejohanan. Myanmar pula menerima hadiah USD 30,000 sebagai naib juara kejohanan, Singapura membawa pulang USD 20,000 manakala Pilihan Thailand meraih hadiah USD 10,000.

Sementara itu, Singapura menewaskan Pilihan Thailand untuk meraih tempat ketiga kejohanan pada aksi yang berlangsung di sebelah petang.

Disember ini, Myanmar pastinya menanti penuh minat skuad Ong Kim Swee di kandang sendiri untuk menggagalkan misi HM A melakukan hatrik menjuarai Sukan SEA 2013.

Wednesday, September 11, 2013

Langkah Bergaya Ke Final

Laporan oleh : Al Zaem

Walaupun Malaysia tidak menurunkan kesebelasan utama, pemain-pemain yang disandarkan harapan untuk meraih kemenangan adalah barisan kedua terbaik yang dimiliki Ong Kim Swee dalam Pestabola Merdeka edisi ke-41 kali ini.
Rozaimi meraikan kejayaan menjaringkan gol untuk pasukan Malaysia. : Gambar oleh : MS Wan

Skuad Harimau Muda A (HM A) meneruskan momentum kemenangan apabila mengatasi Pilihan Thailand 3-0 di Stadium Darul Makmur malam tadi. Kim Swee dilihat melakukan rombakan besar-besaran ketika turun menentang Pilihan Thailand yang turun dengan misi mahu layak ke final dengan hanya mengekalkan Izham Tarmizi di gawang, Fadhli Shas dan Zubir Azmi (pertahanan) serta D. Saarvindran di bahagian sayap.
Mohd Azrif Nasrulhaq turut mambantu serangan pasukan Malaysia. | Gambar oleh : MS Wan

Penyerang prolifik, Rozaimi Abd Rahman membalas kepercayaan Kim Swee dengan dua gol menariknya pada minit ke-27 dan 79. Dalam dua aksi sebelum ini, Kim Swee telah memberi peluang kepada A. Thamil Arasu dan penyerang Negeri Sembilan, S. Sivanesan beraksi sekali dalam perlawanan pertama menentang Singapura. Sebelum itu, Nasir Basharuddin membuka jaringan buat skuad HM A seawal minit ke-11 dengan percubaan kaki kiri dari luar kotak penalti selepas sepakan penjuru Nazirul Naim ditumbuk keluar penjaga gol lawan, Abeefaesan Ya.
Pemain-pemain Malaysia meraikan gol oleh Rozaimi. | Gambar oleh : MS Wan

Beberapa peluang untuk menjaringkan gol turut disia-siakan D. Saarvindran dan S. Sivanesan dalam perlawanan ini. Sivanesan dilihat bijak mencari ruang buat dirinya untuk melepaskan diri dari kawalan pertahanan lawan namun beberapa siri percubaan darinya sedikit tumpul Sementara pemain serba boleh, Saarvindran tampak mengambil alih peranan yang dimainkan Wan Zack Haikal yang direhatkan dengan kerap kali mengucar-kacirkan pertahanan lawan dengan larian pantas dan kawalan bolanya yang kemas.
Rozaimi mengetuai pemain-pemain Malaysia berterima kasih kepada penonton. | Gambar oleh : MS Wan

Penyerang Pilihan Thailand, Pakorn Prempak yang cemerlang dalam dua aksi sebelum ini dan turut dijangka mampu menggugat barisan anak muda negara malam ini dilihat bergelut untuk terus memberikan aksi terbaiknya dengan kawalan baik telah diberikan K. Reuben terhadapnya. Skuad kendalian Kim Swee akan turun di pentas final Sabtu ini menentang Myanmar yang mengatasi Singapura 2-0 di Stadium Mini Temerloh.