Laporan oleh : Al Zaem
Johan tiga kali Pestabola Merdeka, Myanmar bakal menjadi penghalang terakhir skuad Harimau Muda A (HM A) untuk mengecap kejayaan dalam pentas akhir Pestabola Merdeka edisi ke-41, Sabtu ini.
Pemain-pemain Malaysia maraikan gol. | Gambar oleh: MS Wan |
Myanmar dan jurulatihnya, Park Sung Hwa bukanlah asing dalam aksi Pestabola Merdeka kerana kedua-duanya mempunyai sejarah masing-masing dalam kejohanan yang kini kian hilang prestijnya. Kejayaan Myanmar melangkah ke perlawanan akhir edisi 2013 adalah kemunculan ke sembilan dan kali pertama menjulang piala ini atas nama Burma pada edisi ke-8 menewaskan India 1-0. Sementara jurulatihnya, Park Sung Hwa pula pernah memenangi tiga edisi kejohanan ini bersama Korea Selatan di antara tahun 1974-1978. Sung Hwa pasti ingin memberi kejayaan manis buat skuad bimbingannya itu yang kali terakhir memenangi kejohanan ini pada tahun 2006 apabila menewaskan Indonesia 2-1.
Awas ‘Kembar’ Tiga Myanmar
Tiga nama yang perlu diawasi benteng pertahanan yang akan diterajui Fadhli Shas ialah kapten, Kyaw Zayar Win, pemain tengah Kyi Lin dan penyerang Kyaw Ko Ko. Persamaan yang dimiliki ketiga-tiga pemain ini adalah larian pantas, kawalan bola yang baik serta kerap memberi masalah pada pertahanan lawan. Zayar Win dilihat sebagai arkitek penggerak nadi pasukan, sementara Kyi Lin pula sering mengucar-kacirkan benteng lawan. Myanmar kerap menggunakan bahagian sayap untuk memulakan serangan dan menyusup pantas masuk ke kawasan lawan. Selain itu, perhatian juga perlu diberikan kepada pemain seperti Thein Than Win, Nay Lin Tun dan David Htan.
Benteng skuad HM A tampak sedikit longgar dalam aksi sebelum ini dengan beberapa kesilapan mudah yang boleh mengundang bahaya pada penjaga gawang, Izham Tarmizi yang adakalanya terpaksa keluar untuk menyelamatkan keadaan. Walaupun cuma bolos sekali setakat ini dengan rekod kemenangan 100 peratus, persefahaman di kalangan pemain pertahanan perlu dipertingkatkan lagi untuk mengekang asakan Myanmar yang pastinya ingin memadamkan rekod kekalahan mereka dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini.
Permusuhan Era Baru
Ong Kim Swee pastinya sudah masak dengan percaturan lawannya itu apabila berjaya menyerap tekanan dan asakan Myanmar pada perlawanan peringkat kumpulan yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada HM A dengan keputusan 2-1. Perlawanan tempoh hari berlangsung dalam keadaan tegang apabila kedua-dua pasukan mempamerkan aksi keras di mana akhirnya menyaksikan Kyi Lin dilayangkan kad merah di samping Kim Swee juga dilihat bertikam lidah bersama penolong jurulatih Myanmar di luar padang.
Sengketa Malaysia-Myanmar sebenarnya bermula ketika aksi Kelayakan Piala Asia B-22 tahun, Julai lalu. Kontroversi umur sebenar kapten Myanmar, Kyaw Zayar Win yang didakwa melebihi had umur yang berbeza dengan umurnya ketika didaftarkan bersama kelabnya, Kanbawza FC. Namun, Persatuan Bolasepak Myanmar (MFF) menafikan perkara tersebut.
Skuad Kim Swee tewas 1-2 pada Myanmar ketika aksi kelayakan tersebut dan mengundang ketidakpuasan hati pelbagai pihak termasuklah Ong Kim Swee sendiri. Gol tunggal skuad HM A ketika itu dijaringkan oleh Rozaimi Abd Rahman. Walaupun sudah melewati tempoh sengketa, jelas kini pertembungan kedua-dua negara ini akan sentiasa terarah kepada sejarah kontroversi itu dan ianya membawa kepada permusuhan era baru buat kedua-dua negara.
Junior, Rozaimi, Wan Zack dan Saarvindran
Buat skuad HM A, Junior Eldstal diperlukan di jentera tengah kerana kehadirannya dalam percaturan Ong Kim Swee di kejohanan ini membuahkan hasil yang terbaik. Kehadiran Junior pada perlawanan peringkat kumpulan membuatkan Myanmar sedikit bergelut. Kemampuan Junior mengawal bola dengan baik di tengah serta berfizikal tinggi dan tegap kerap kali menggagalkan pergerakan lawan. Jelas, gandingan Irfan Fazail dan Junior adalah kombinasi yang mantap setakat ini.
Junior Eldstal mempamerkan corak permainan yang kemas dalam dua perlawanan terdahulu. | Gambar oleh: MS Wan |
Malah hasil tandukkan Junior di dalam kotak penalti telah membuka ruang buat Irfan Fazail untuk menyambut dan menjaringkan gol pertama pasukan sebelum Wan Zack Haikal menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma yang menarik.
Wan Zack dan D. Saarvindran hampir pasti digunakan di bahagian sayap. Kepantasan, kelincahan serta kawalan bola yang baik kedua-dua pemain ini sentiasa menyukarkan pertahanan lawan untuk mengawal mereka. Walaubagaimanapun, Wan Zack dikhabarkan masih mengalami kecederaan.
Thamil Arasu hampir pasti akan diturunkan sebagai penyerang tunggal. | Gambar oleh: MS Wan |
Sentuhan tajam Rozaimi Abd Rahman amat diperlukan HM A dan ini terbukti dengan dua gol jaringannya ketika menewaskan Pilihan Thailand. Banyak peluang menjaringkan gol disia-siakan sepanjang dua aksi sebelum ini dan mungkin kehadiran Rozaimi boleh memperbaiki situasi tersebut. Namun, Kim Swee dilihat lebih gemar menggunakan penyerang tunggal berbanding dua penyerang dan posisi itu mungkin bakal diisi A. Thamil Arasu yang setakat ini telah menjaringkan satu gol.
Pertembungan Malaysia dan Myanmar di pentas akhir Pestabola Merdeka 2013 pasti menjanjikan persaingan sengit dan inilah ‘juadah’ terbaik buat skuad HM A sebelum mula membuat persiapan ke Sukan SEA, Disember nanti dan destinasinya adalah Myanmar!
No comments:
Post a Comment