Tuesday, September 3, 2013

Hoki Piala Asia 2013 : Meningkat atau masih ditakuk lama?

Peminat meletakkan harapan yang tinggi kepada skuad kali ini

Piala Asia sudah pun melabuhkan tirai nya pada malam 1 September yang lalu. Namun ia pasti meninggalkan kesan yang amat mendalam pada peminat dan pemain hoki negara khas nya. Ini kerana kejohanan kali ini dilihat merupakan pentas terbaik untuk Malaysia muncul buat kali pertama sebagai Juara Piala Asia.

Hadir diatas kertas dengan penuh keyakinan walaupun direntap dengan kehilangan lagenda mendiang Chua Boon Huat namun semangat dan keyakinan pemain lain dilihat tidak pernah luntur. Skuad kali ini menampakkan kejuaraan bakal dijulang dek kerana persembahan yang cukup memberangsangkan pada kejohanan juara juara di Johor Bahru tempoh hari. Malah keyakinan sama turut dizahirkan oleh ketua jurulatih negara Paul Revington.


Taiwan mudah diratah skuad negara

Diletakkan bersama Pakistan,Jepun dan Taiwan menambahkan lagi keyakinan untuk kita mara keseparuh akhir biarpun dilihat pasukan Jepun yang menduduki ranking ke 16 mula menampakkan peningkatan ketara akhir akhir ini. Manakala Taiwan lebih dilihatkan pasukan yang akan mudah diratah didalam kumpulan B ini. Dan ini terbukti apabila Malaysia menduduki tangga kedua kumpulan dengan mudah menewaskan Taiwan 7-2 dan Jepun 4-2 biarpun tunduk kepada Pakistan 4-1 dalam perlawanan kedua.

Aksi sebenar diperingkat kumpulan mula menampakkan kerisauan dikalangan peminat hoki dan juga cukup untuk meresahkan barisan kejurulatihan hoki negara. Melepaskan 8 gol didalam 3 perlawanan amat sukar ditelan oleh semua. 2 gol mudah bertemu Taiwan diperingkat kumpulan cukup untuk menceritakan bahawa barisan benteng negara tidak cukup kebal dan tidak berada diprestasi terbaik. Dan ini terbukti diperlawanan kedua dengan mudahnya Pakistan merobek gawang Malaysia. Cuma aksi separuh masa kedua bertemu Jepun nampak ada petanda positif.

Skuad negara dikecewakan oleh pasukan India 


Ketika Paul Revington mengasah kembali bahagian benteng yang dilihat barisan yang perlu segera diperbaiki menjelang bertemu pasukan India diseparuh akhir,mungkin beliau terlupa untuk menggilap barisan serangan terutama penyerang handalan negara Faizal Shaari. Biarpun Malaysia menampilkan aksi terbaik pada perlawanan separuh akhir itu namun ketumpulan barisan serangan negara cukup untuk mengecewakan para penonton yang hadir. Peluang demi peluang dilepaskan dan akhirnya negara dihukum oleh ketajaman serangan India. Perlawanan itu cukup untuk kita merasakan betapa kita benar benar kehilangan Chua Boon Huat. Kita masih belum ada pengganti beliau. Mungkin dari segi kemahiran yang beliau ada mampu dizahirkan oleh Firhan dan Izwan namun kebijaksanaan beliau masih belum ada pengganti.


Faizal Shaari tidak berada diprestasi sebenar
Menamatkan cabaran ditangga ke 4 bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Ketumpulan barisan serangan serta kerapuhan benteng pertahanan menunjukkan seolah olah skuad ini agak "keletihan" ketika mengharungi perjuangan di Ipoh tempoh hari. Adakah tekanan yang diberikan oleh peminat hoki negara menyebabkan mereka gagal mempamerkan aksi terbaik mereka ataupun peningkatan ketara pasukan India dan Pakistan dalam kejohanan kali ini menyebabkan negara terus berputih mata.


Fitri Shaari pemain muda yang meningkat naik
Namun tidak adil jika kita hanya melihat hanya dari sudut negatif sahaja kerana masih ada perkara yang positif dalam kejohanan kali ini. Peningkatan mendadak yang dipamerkan oleh 3 pemain muda negara Firhan Ashaari, Fitri Shaari dan Faiz Helmi cukup untuk kita membayangkan bahawa kita tidak pernah ketandusan pemain pelapis yang berbakat. Malah aksi Fitri Shaari didalam kejohanan kali ini boleh dianggap antara pemain terbaik bagi kejohanan ini yang mana mirip seperti jelmaan lagenda hoki negara Mirnawan Nawawi.

Semangat melawan negara juga tidak boleh kita pertikaikan. Bukti nya di dalam perlawanan bertemu Jepun dimana kita ketinggalan dengan 2 jaringan namun dengan pengalaman dan semangat melawan yang jitu didalam diri setiap pemain, mereka berjaya menjelmakan watak sebenar mereka.

Skuad negara perlu diberi suntikan baru oleh ketua jurulatih negara. Biarpun gagal mempamerkan aksi sebenar didalam kejohanan kali ini namun masih ada masa untuk memperbaiki segala kelemahan yang dikesan kali ini bagi mengharungi piala dunia tahun hadapan. Walaupun keputusan di Ipoh sukar untuk diterima namun skuad kali ini dilihat merupakan ramuan terbaik untuk diadunkan oleh Paul Revington untuk menggegar persada hoki dunia dan tidak salah kira nya jika kita sudah mula boleh mencongak untuk melihat skuad hoki negara berada di kedudukan 5 terbaik dunia dalam tempoh 2 tahun akan datang. Walau apa pun dikejohanan kali ini masih terdapat sedikit peningkatan namun ianya masih tidak cukup untuk memenuhi harapan yang diletakkan dibahu setiap pemain negara.

No comments:

Post a Comment