Sunday, October 27, 2013

Pahang Tempah Tiket Final Piala Malaysia

Laporan oleh : Al Zaem
Dollah Salleh berjaya membimbing pasukan Pahang ke pentas Akhir Piala Malaysia 2013


Juara Liga Perdana 2013, Sarawak menamatkan kempen Watson Piala Malaysia 2013 di peringkat separuh akhir selepas tunduk secara agregat kepada Pahang. Jaringan penyerang simpanan, Fauzi Roslan membantu pasukannya mengikat Sarawak dengan keputusan 1-1 seterusnya melayakkan Pahang ke pentas akhir dengan agregat 4-2 di Stadium Negeri, Kuching malam tadi.

Beraksi sedikit bertahan dan santai, Pahang dilihat kurang mengasak benteng pertahanan tuan rumah dan ini membolehkan jentera serangan lawan merencana dan melakukan serangan bertali arus ke gawang Pahang yang dikawal penjaga gol muda, Khairul Azhan.

Kehadiran semula Ronny Harun dan Joseph Kalang Tie membantu Sarawak beraksi dengan lebih baik. Ini dibuktikan dengan semua gerakkan Sarawak akan menfokuskan kepada Joseph Kalang sebagai nadi serangan mereka, sementara Ronny kembali mengukuhkan benteng pertahanan.

Minit ke-25 menyaksikan percubaan jauh Joseph Kalang dari luar kotak penalti sekadar menggegar palang gol pelawat. Lima minit sebelum itu, Joseph turut melakukan rembatan yang ditangkap kemas Khairul Azhan. Kelincahan Joseph telah memaksa pertahanan kiri Pahang, Shahrizan Salleh terpaksa bekerja keras.

Dan Joseph Kalang Tie membuktikan kehadirannya memberi impak positif buat jentera serangan pasukannya dengan membantu Bobby Gonzales menjaringkan gol pertama ‘Ngap Sayot’ pada minit ke-32. Tandukkan kilas Bobby membuatkan Khairul Azhan hanya terpaku melihat bola menggegar gawang Pahang untuk membolehkan tuan rumah mendahului.

Bobby Gonzales turut terlepas beberapa peluang untuk menambah gol. Antaranya pada minit ke-45 yang diselamatkan benteng pertahanan lawan, Damion Stewart serta tiga minit selepas babak kedua bermula dengan percubaan yang cuma melewati depan pintu gol selepas Khairul Azhan sudah tertewas.

Tok Gajah akhirnya mula mempamerkan kebangkitan untuk mengasak kubu lawan melalui pemain sayap, R. Gopinathan di sebelah kiri namun berjaya diserap baik pertahanan tuan rumah. Gopinathan yang sedikit tenggelam sepanjang babak pertama mula melakukan larian-larian deras untuk mengucar-kacirkan benteng yang diterajui pemain kebangsaan, Hairol Mokhtar.

Kecederaan penyerang import, Matias Conti pada minit ke-73 menyaksikan Dollah Salleh melakukan perubahan dengan memasukkan penyerang simpanan, Fauzi Roslan dan sentuhan pertamanya melalui tandukkan kilas telah memberikan Pahang gol penyamaan seminit kemudian.
Gol pertama Fauzi Roslan dalam aksi Piala Malaysia musim ini telah menjulang Pahang untuk ke pentas akhir setelah kali terakhir layak pada tahun 1997 dan kali terakhir memenanginya pada 1992. Pahang akan menentang seteru Pantai Timur, Kelantan di perlawanan akhir Watson Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam pada 3 November 2013 nanti.

Sarawak: Sani Anuar Kamsani, Mafry Balang (Azizan Baba), Ronny Harun, Hairol Mokhtar (Shahrol Saperi), Ramesh Lai Ban Huat, Joseph Kalang, Junior Eldstal, Guy Bwele, Ashri Chuchu (Zamri Morshidi), Muamer Salibasic, Bobby Gonzales


Pahang: Khairul Azhan, Jalaluddin Jaafar (Saifulnizam Miswan), Razman Roslan, Damion Stewart, Shahrizan Salleh, R. Surendran, Azidan Sarudin (Faizol Hussain), Amirul Hadi, R. Gopinathan, Azamuddin Akil, Matias Conti (Fauzi Roslan)

No comments:

Post a Comment