Saturday, October 26, 2013

Jaringan Piya Hancurkan Impian ATM

Laporan oleh : Al Zaem

Badri Razi bertindak cemerlang membawa kelantan ke perlawanan akhir
25 Oktober 2013,Kota Bharu : Jaringan penting kapten ‘marvel’, Badhri Radzi memastikan Kelantan melayakkan diri ke pentas akhir Watson Piala Malaysia 2013 menyingkirkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan agregat 4-3 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu malam tadi.

Ketinggalan dua gol pada babak pertama dan diasak sejak wisel dimulakan tidak melemahkan semangat The Red Warrior untuk bangkit seterusnya mengikat kedudukan menuju 10 minit terakhir perlawanan.

ATM berjaya memperolehi gol pertama menerusi penyerang, Marlon Alex James pada minit ke-18 apabila memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan Kelantan yang gagal mengeluarkan bola dalam kotak penalti dengan rembatan padu menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Kelonggaran benteng pertahanan tuan rumah terus dihukum anak didik B. Sathiananthan dengan gol kedua Marlon pada minit ke-35.
Tidak dikawal, Marlon menggunakan ruang yang ada padanya selepas menerima hantaran kemas Affize Faisal Mamat dari sebelah sayap kiri ATM untuk menewaskan Khairul Fahmi untuk kali kedua menjadikan agregat 3-2 berpihak kepada pasukan pelawat.

ATM menggunakan sepenuhnya kedua-dua pemain sayapnya, Venice Elphi dan Christie Jayaseelan untuk mengasak kubu Kelantan dan ini berterusan di babak kedua perlawanan. Namun, kemasukkan Fakri Saarani pada minit ke-63 dilihat mengubah sedikit rentak serangan Kelantan.

Bermula dengan sepakan percuma Indra Putra yang berjaya ditepis oleh Farizal Harun pada minit ke-65, kebangkitan Kelantan bermula. Seminit kemudian, tandukkan pemain import Kelantan Obinna Nwaneri dinafikan palang selepas menerima hantaran tepat Badhri Radzi di depan gawang gol.

Gol semangat yang dicari-cari tuan rumah akhirnya diperolehi menerusi pemain gantian, Fakri Saarani pada minit ke-81. Hantaran Indra Putra berjaya dimanfaatkan Fakri yang akhirnya menggegarkan gawang ATM buat kali pertama.

Tidak menunggu lama, Badhri Radzi menjaringkan gol kedua Kelantan dengan rembatan padu mencari sudut kanan gol menewaskan Farizal untuk mengikat kedudukan dan mendahului pelawat menerusi agregat 4-3 pada minit ke-85.

Percubaan Shukor Adan di masa kecederaan yang ditepis Khairul Fahmi menamatkan sisa perjuangan ATM dan membolehkan Kelantan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali ke-4 sejak tahun 2009. Kini, Kelantan menanti pemenang antara Sarawak dan Pahang dalam satu lagi aksi separuh akhir yang akan berlangsung esok di Stadium Negeri, Sarawak.

Kelantan: Khairul Fahmi, Azizi Matt Rose, Farisham Ismail (Zairul Fitri), Obinna Nwaneri, Nik Shahrul Azim, Zairo Anuar Zailani (Fakri Saarani), Shakir Shaari, Badhri Radzi (Rizal Fahmi), Norfarhan Muhammad, Indra Putra Mahayuddin, Dickson Nwakaeme.


ATM: Farizal Harun, K.Reuben, Nor Fazly, Shukor Adan, Affize Faisal (Rezal Zambery), Fitri Omar, Bruno Martelotto, Venice Elphi (Irwan Fazli), Christie Jayaseelan, Hairuddin Omar, Marlon Alex James

No comments:

Post a Comment