Laporan Oleh : Al Zaem
Piala Menpora anjuran Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Ruy Suryo, yang telah melabuhkan tirainya minggu lepas adalah bertujuan untuk meraikan Hari Sukan peringkat kebangsaan di Indonesia.
Disamping itu, penganjuran kejohanan sepuluh hari ini juga sebenarnya diharap dapat memberi pendedahan buat kelab-kelab di Indonesia menentang kelab-kelab dari luar negara.
Australia, Filipina dan Indonesia menampilkan kelab-kelab terbaik dari liga masing-masing, sementara Malaysia pula menghantar Harimau Muda A (HM A) yang ketika ini dalam rangka persediaan menjelang Sukan SEA 2013, Disember nanti.
Dalam Pestabola Merdeka tempohari, Indonesia khabarnya telah menghantar wakilnya untuk merisik kekuatan pasukan yang menyertai kejohanan tersebut terutama sekali pasukan tuan rumah, seteru utama mereka di rantau Asia Tenggara ini.
Untuk aksi Piala Menpora, HM A pula bertandang ke laman seterunya itu dan pastinya akan dirisik sekali lagi oleh pengurusan skuad Garuda Muda. Walaubagaimanapun, jurulatih HM A, Ong Kim Swee jelas tidak tergugat dengan situasi ini.
“Bukan saja Indonesia, malah pasukan lain juga boleh tinjau (Harimau Muda), itu kita tidak boleh lari.”
“Kita juga ada mengumpul maklumat mengenai pasukan lawan, jadi ia bukan sesuatu yang boleh memberi ancaman,” terang Kim Swee yang masih segar dengan kejuaraan Pestabola Merdeka 2013 yang dimenangi di Kuantan, Pahang, awal September lalu.
Kim Swee memandang serius cabaran yang bakal diberikan Thailand dan Myanmar di Sukan SEA nanti sambil mengakui yang dirinya masih belum dapat mengagak kekuatan sebenar Indonesia. Dan bagi skuadnya, Kim Swee yakin banyak lagi ‘kejutan’ yang bakal digunakan nanti.
Boleh dikategorikan sebagai jurulatih yang fleksible, Kim Swee bukanlah seorang yang senang diduga mengenai barisan pemain-pemain dan taktikal yang akan digunakan dalam satu-satu perlawanan. Inilah kelebihan yang dimiliki oleh jurulatih kelahiran Melaka ini.
“Ini bukan pasukan sebenar Sukan SEA dan pastinya permainan dan strategi kita akan berbeza apabila tiba hari temasya nanti,” jelas Kim Swee lagi.
No comments:
Post a Comment