Sunday, October 27, 2013

Pemain Golf Thailand kuasai Negeri Sembilan Masters 2013


Seremban, 26 Oktober 2013 : Thailand membuktikan mereka merupakan kuasa besar dalam sukan golf di rantau Asean apabila dua pemain muda mereka berjaya menguasai tempat teratas dalam Kejohanan Golf Jelajah Asean, Negeri Sembilan Masters 2013 di Kelab Golf Antarabangsa Seremban.

Kwanchai Tannin (Thailand) Gambar oleh PGM Tour / Arep Kulal

Ketenangan Kwanchai Tannin, 27 tahun, yang juga dikenali sebagai jelmaan pemain golf lagenda Thailand, Boonchu Ruangkit, memberi kelebihan kepada beliau dalam menguasai hari terakhir kejohanan apabila mencatatkan 18pukulan di bawah par, satu pukalan di hadapan rakan beliau dari Thailand, seorang lagi pemain muda yang baru berusia 18tahun, Rattanon Wannasrichan. 

Rattanon Wannasrichan (Thailand)l
Kwanchai, yang sebelum ini menjuarai Kejohanan Golf Singha Pattaya Open pada bulan April yang lalu menyifatkan kemenangannya sebagai bonus dan pembakar semangat untuk beliau terus bersaing dalam kejohanan golf yang lebih besar di peringkat Asia. 

Dengan kemenangan di Seremban, Kwanchai membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000.00 dan mendahului senarai Order of Merit Jelajah Asean PGA 2013. 

Choo Tze Huang (Singapura)



Sementara itu pemain Singapura, Choo Tze Huang, yang cuba memberi saingan kepada dua pemain Thailand terpaksa berpuas hati ditempat ketiga apabila sekadar mampu melakukan 15pukulan di bawah par.

Kejohanan Golf Negeri Sembilan Masters 2013 merupakan kejohanan golf dalam siri Jelajah Asean dandianjurkan bersama dengan Jelajah Professional Golf Malaysia (PGM)

Keputusan Penuh:

270 – Kwanchai Tannin (THA) 67 68 69 66
271 – Rattanon Wannasrichan (THA) 71 65 69 66
273 – Choo Tze Huang (SIN) 68 69 69 67
275 – Mardan Mamat (SIN) 69 71 67 68
276 – Mohd Zurie Harun (MAS) 70 68 68 70
277 – Koh Dengshan (SIN) 71 71 66 69
278 – Iylia Jamil (MAS) 67 72 71 68
279 – Mars Pucay (PHI) 73 67 70 69, Mohd Sukree Othman (MAS) 68 73 67 71, Mohd Azman Basharudin (MAS) 72 68 66 73
280 – Namchok Tantipokhakul (THA) 79 69 65 67, S Siva Chandhran (MAS) 66 70 77 67
281 – M Sasidaran (MAS) 72 69 68 72, Airil Rizman (MAS) 72 70 65 74

Pahang Tempah Tiket Final Piala Malaysia

Laporan oleh : Al Zaem
Dollah Salleh berjaya membimbing pasukan Pahang ke pentas Akhir Piala Malaysia 2013


Juara Liga Perdana 2013, Sarawak menamatkan kempen Watson Piala Malaysia 2013 di peringkat separuh akhir selepas tunduk secara agregat kepada Pahang. Jaringan penyerang simpanan, Fauzi Roslan membantu pasukannya mengikat Sarawak dengan keputusan 1-1 seterusnya melayakkan Pahang ke pentas akhir dengan agregat 4-2 di Stadium Negeri, Kuching malam tadi.

Beraksi sedikit bertahan dan santai, Pahang dilihat kurang mengasak benteng pertahanan tuan rumah dan ini membolehkan jentera serangan lawan merencana dan melakukan serangan bertali arus ke gawang Pahang yang dikawal penjaga gol muda, Khairul Azhan.

Kehadiran semula Ronny Harun dan Joseph Kalang Tie membantu Sarawak beraksi dengan lebih baik. Ini dibuktikan dengan semua gerakkan Sarawak akan menfokuskan kepada Joseph Kalang sebagai nadi serangan mereka, sementara Ronny kembali mengukuhkan benteng pertahanan.

Minit ke-25 menyaksikan percubaan jauh Joseph Kalang dari luar kotak penalti sekadar menggegar palang gol pelawat. Lima minit sebelum itu, Joseph turut melakukan rembatan yang ditangkap kemas Khairul Azhan. Kelincahan Joseph telah memaksa pertahanan kiri Pahang, Shahrizan Salleh terpaksa bekerja keras.

Dan Joseph Kalang Tie membuktikan kehadirannya memberi impak positif buat jentera serangan pasukannya dengan membantu Bobby Gonzales menjaringkan gol pertama ‘Ngap Sayot’ pada minit ke-32. Tandukkan kilas Bobby membuatkan Khairul Azhan hanya terpaku melihat bola menggegar gawang Pahang untuk membolehkan tuan rumah mendahului.

Bobby Gonzales turut terlepas beberapa peluang untuk menambah gol. Antaranya pada minit ke-45 yang diselamatkan benteng pertahanan lawan, Damion Stewart serta tiga minit selepas babak kedua bermula dengan percubaan yang cuma melewati depan pintu gol selepas Khairul Azhan sudah tertewas.

Tok Gajah akhirnya mula mempamerkan kebangkitan untuk mengasak kubu lawan melalui pemain sayap, R. Gopinathan di sebelah kiri namun berjaya diserap baik pertahanan tuan rumah. Gopinathan yang sedikit tenggelam sepanjang babak pertama mula melakukan larian-larian deras untuk mengucar-kacirkan benteng yang diterajui pemain kebangsaan, Hairol Mokhtar.

Kecederaan penyerang import, Matias Conti pada minit ke-73 menyaksikan Dollah Salleh melakukan perubahan dengan memasukkan penyerang simpanan, Fauzi Roslan dan sentuhan pertamanya melalui tandukkan kilas telah memberikan Pahang gol penyamaan seminit kemudian.
Gol pertama Fauzi Roslan dalam aksi Piala Malaysia musim ini telah menjulang Pahang untuk ke pentas akhir setelah kali terakhir layak pada tahun 1997 dan kali terakhir memenanginya pada 1992. Pahang akan menentang seteru Pantai Timur, Kelantan di perlawanan akhir Watson Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam pada 3 November 2013 nanti.

Sarawak: Sani Anuar Kamsani, Mafry Balang (Azizan Baba), Ronny Harun, Hairol Mokhtar (Shahrol Saperi), Ramesh Lai Ban Huat, Joseph Kalang, Junior Eldstal, Guy Bwele, Ashri Chuchu (Zamri Morshidi), Muamer Salibasic, Bobby Gonzales


Pahang: Khairul Azhan, Jalaluddin Jaafar (Saifulnizam Miswan), Razman Roslan, Damion Stewart, Shahrizan Salleh, R. Surendran, Azidan Sarudin (Faizol Hussain), Amirul Hadi, R. Gopinathan, Azamuddin Akil, Matias Conti (Fauzi Roslan)

Saturday, October 26, 2013

Jaringan Piya Hancurkan Impian ATM

Laporan oleh : Al Zaem

Badri Razi bertindak cemerlang membawa kelantan ke perlawanan akhir
25 Oktober 2013,Kota Bharu : Jaringan penting kapten ‘marvel’, Badhri Radzi memastikan Kelantan melayakkan diri ke pentas akhir Watson Piala Malaysia 2013 menyingkirkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan agregat 4-3 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu malam tadi.

Ketinggalan dua gol pada babak pertama dan diasak sejak wisel dimulakan tidak melemahkan semangat The Red Warrior untuk bangkit seterusnya mengikat kedudukan menuju 10 minit terakhir perlawanan.

ATM berjaya memperolehi gol pertama menerusi penyerang, Marlon Alex James pada minit ke-18 apabila memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan Kelantan yang gagal mengeluarkan bola dalam kotak penalti dengan rembatan padu menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Kelonggaran benteng pertahanan tuan rumah terus dihukum anak didik B. Sathiananthan dengan gol kedua Marlon pada minit ke-35.
Tidak dikawal, Marlon menggunakan ruang yang ada padanya selepas menerima hantaran kemas Affize Faisal Mamat dari sebelah sayap kiri ATM untuk menewaskan Khairul Fahmi untuk kali kedua menjadikan agregat 3-2 berpihak kepada pasukan pelawat.

ATM menggunakan sepenuhnya kedua-dua pemain sayapnya, Venice Elphi dan Christie Jayaseelan untuk mengasak kubu Kelantan dan ini berterusan di babak kedua perlawanan. Namun, kemasukkan Fakri Saarani pada minit ke-63 dilihat mengubah sedikit rentak serangan Kelantan.

Bermula dengan sepakan percuma Indra Putra yang berjaya ditepis oleh Farizal Harun pada minit ke-65, kebangkitan Kelantan bermula. Seminit kemudian, tandukkan pemain import Kelantan Obinna Nwaneri dinafikan palang selepas menerima hantaran tepat Badhri Radzi di depan gawang gol.

Gol semangat yang dicari-cari tuan rumah akhirnya diperolehi menerusi pemain gantian, Fakri Saarani pada minit ke-81. Hantaran Indra Putra berjaya dimanfaatkan Fakri yang akhirnya menggegarkan gawang ATM buat kali pertama.

Tidak menunggu lama, Badhri Radzi menjaringkan gol kedua Kelantan dengan rembatan padu mencari sudut kanan gol menewaskan Farizal untuk mengikat kedudukan dan mendahului pelawat menerusi agregat 4-3 pada minit ke-85.

Percubaan Shukor Adan di masa kecederaan yang ditepis Khairul Fahmi menamatkan sisa perjuangan ATM dan membolehkan Kelantan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali ke-4 sejak tahun 2009. Kini, Kelantan menanti pemenang antara Sarawak dan Pahang dalam satu lagi aksi separuh akhir yang akan berlangsung esok di Stadium Negeri, Sarawak.

Kelantan: Khairul Fahmi, Azizi Matt Rose, Farisham Ismail (Zairul Fitri), Obinna Nwaneri, Nik Shahrul Azim, Zairo Anuar Zailani (Fakri Saarani), Shakir Shaari, Badhri Radzi (Rizal Fahmi), Norfarhan Muhammad, Indra Putra Mahayuddin, Dickson Nwakaeme.


ATM: Farizal Harun, K.Reuben, Nor Fazly, Shukor Adan, Affize Faisal (Rezal Zambery), Fitri Omar, Bruno Martelotto, Venice Elphi (Irwan Fazli), Christie Jayaseelan, Hairuddin Omar, Marlon Alex James

Monday, October 14, 2013

LEXI THOMPSON JUARA KEJOHANAN GOLF SIME DARBY LPGA 2013

Pemain remaja dari USA, Lexi Thompson berjaya memenangi Kejohanan Sime Darby LPGA 2013 sekaligus menamatkan penguasaan pemain-pemain Korea sejak edisi 2010. Lexi Thomposon membawa pulang  wang kemenangan USD 300,000.00 yang merupakan kejuaraan pertama beliau selepas kali terakhir memenangi kejohanan Navistar LPGA Classic dua tahun yang lalu ketika berusia 16 tahun.

Lexi Thompson juara Kejohanan Golf Sime Darby LPGA 2013

Thompson berjaya melalukan empat birdie dan dua bogey bagi memastikan beliau mengumpul 265 pukulan, 19 di bawah par menamatkan saingan selaku juara kejohanan.

Shanshan Feng beraksi di Kejohanan Golf Sime Darby LPGA 2013.

Pemain no 8 dunia, Shanshan Feng dari China berjaya menduduki tempat kedua dengan mancatatkan  269 pukulan, 15 di bawah par untuk membawa pulang US$186,577.00.

Ilhee Lee gagal meneruskan penguasaan Korea Selatan pada Kejohanan Golf Sime Darby LPGA 2013.

Pemain Korea Selatan, Ilhee Lee bagaimanapun gagal mengekalkan prestasi cemerlang pada hari pertama dan kedua kejohanan dan menamatkan siangan pada kedudukan ketiga bersama-sama pemain nombor dua dunia, Suzann Pettersen dengan mencatatkan keputusan keseluruhan 272 pukulan, 12 di bawah par.
Susann Petterson sekadar menduduki tempat ketiga kejohanan.

Juara bertahan dan pemain nombor satu dunia, Inbee Park gagal beraksi cemerlang pada edisi 2013 ini selepas sekadar menamatkan kejohanan pada kedudukan ke 32.
Michelle Koh (kiri) pemain amatur dan pemain Malaysia terbaik pada Kejohanan Golf Sime Darby LPGA 2013.

Sementara itu, Pemain amatur negara Michelle Koh menjadi pemain amatur dan pemain terbaik Malaysia pada kejohanan kali ini.  Pemain berusia 23 tahun yang berasal dari Kuantan, membuat 294 pukulan, 10 di atas par, yang menempatkan beliau di kedudukan ke-60 keseluruhan.

Sunday, October 6, 2013

Indonesia Risik Kekuatan Harimau Muda?

Laporan Oleh : Al Zaem

Piala Menpora anjuran Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Ruy Suryo, yang telah melabuhkan tirainya minggu lepas adalah bertujuan untuk meraikan Hari Sukan peringkat kebangsaan di Indonesia.

Disamping itu, penganjuran kejohanan sepuluh hari ini juga sebenarnya diharap dapat memberi pendedahan buat kelab-kelab di Indonesia menentang kelab-kelab dari luar negara.

Australia, Filipina dan Indonesia menampilkan kelab-kelab terbaik dari liga masing-masing, sementara Malaysia pula menghantar Harimau Muda A (HM A) yang ketika ini dalam rangka persediaan menjelang Sukan SEA 2013, Disember nanti.

Dalam Pestabola Merdeka tempohari, Indonesia khabarnya telah menghantar wakilnya untuk merisik kekuatan pasukan yang menyertai kejohanan tersebut terutama sekali pasukan tuan rumah, seteru utama mereka di rantau Asia Tenggara ini.
Untuk aksi Piala Menpora, HM A pula bertandang ke laman seterunya itu dan pastinya akan dirisik sekali lagi oleh pengurusan skuad Garuda Muda. Walaubagaimanapun, jurulatih HM A, Ong Kim Swee jelas tidak tergugat dengan situasi ini.
“Bukan saja Indonesia, malah pasukan lain juga boleh tinjau (Harimau Muda), itu kita tidak boleh lari.”
“Kita juga ada mengumpul maklumat mengenai pasukan lawan, jadi ia bukan sesuatu yang boleh memberi ancaman,” terang Kim Swee yang masih segar dengan kejuaraan Pestabola Merdeka 2013 yang dimenangi di Kuantan, Pahang, awal September lalu.

Kim Swee memandang serius cabaran yang bakal diberikan Thailand dan Myanmar di Sukan SEA nanti sambil mengakui yang dirinya masih belum dapat mengagak kekuatan sebenar Indonesia. Dan bagi skuadnya, Kim Swee yakin banyak lagi ‘kejutan’ yang bakal digunakan nanti.

Boleh dikategorikan sebagai jurulatih yang fleksible, Kim Swee bukanlah seorang yang senang diduga mengenai barisan pemain-pemain dan taktikal yang akan digunakan dalam satu-satu perlawanan. Inilah kelebihan yang dimiliki oleh jurulatih kelahiran Melaka ini.

“Ini bukan pasukan sebenar Sukan SEA dan pastinya permainan dan strategi kita akan berbeza apabila tiba hari temasya nanti,” jelas Kim Swee lagi.