Laporan oleh: Al Zaem
|
Kesebelasan utama yang dipertaruhkan semasa bertemu Ryukyu FC. |
Umumnya, para
pemerhati dan penyokong arena bolasepak negara pastinya sudah nampak kerangka
utama skuad Harimau Muda A (HM A) yang bakal memulakan cabaran di Sukan SEA
2013 yang bakal berlangsung lebih kurang seminggu dari sekarang.
Datuk Ong Kim Swee
telah mencuba hampir kesemua pemain yang ada di dalam senarainya dan beberapa
pemain telah menampilkan aksi yang memberansangkan. Skuad HM A bangkit setelah
ketinggalan satu gol dalam aksi babak pertama untuk menewaskan FC Ryukyu 3-1 dalam
aksi pemanas badan di Stadium MBPJ malam tadi.
|
Irfan Fazail pasti menjadi tunggak perancang skuad Harimau Muda ketika Sukan SEA 2013 nanti. |
Kim Swee meletakkan
Ahmad Hazwan Bakri sebagai penyerang tunggal dengan dua pemain sayap, Ashri
Chuchu dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria untuk membantunya. Namun, berdasarkan
apa yang dipamerkan, Hazwan Bakri dilihat gagal mencapai tahap yang diinginkan
apabila gagal memanfaatkan beberapa peluang yang terhidang untuknya di depan
gawang.
Antaranya pada minit
ke-35 dan 37 apabila bola yang dilorongkan rakan kepadanya di kawasan gol FC
Ryukyu gagal disempurnakan untuk gol pertama buat skuad HM A. Kemasukkan Thamil
Arasu menggantikan Wan Zaharulnizam yang tercedera menyaksikan sedikit
perubahan corak permainan yang ditampilkan HM A.
Namun, HM A lebih
awal ketinggalan hasil jaringan penyerang berusia 24 tahun, Shunta Takahashi
pada minit ke-14 selepas Nazmi Faiz Mansor terlepas bola di bahagian tengah
padang. Lorongan cantik terus diberikan kepada Shunta melewati benteng
pertahanan HM A yang ditunjangi Mohd Fadhli Shas dan Shahrul Saad menyaksikan
Izham Tarmizi Roslan turut tertewas.
Aksi yang lebih baik
berjaya dipamerkan HM A apabila Kim Swee merombak sedikit barisan pemain sebaik
perlawanan memasuki babak kedua dengan memasukkan Rozaimi Abd Rahman di posisi
penyerang dan K. Reuben di pertahanan kanan menggantikan Hazwan Bakri dan Mohd
Azrif Nasrulhaq.
|
Gandingan Rozaimi dan Thamil Aresu berjaya membawa kemenangan kepada Harimau Muda. |
Hasilnya, Rozaimi
Abd Rahman berjaya menjaringkan dua gol peribadi buat HM A, masing-masing pada
minit ke-50 dan ke-90 untuk meleburkan harapan FC Ryukyu menjinakkan HM A.
Sebelum itu, gol penyamaan berjaya diperolehi HM A hasil tandukkan Thamil Arasu
di dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Kenji Tanaka dua minit
selepas aksi babak kedua dimulakan.
|
Rozaimi bertindak bijak untuk menjaringkan gol kedua Harimau Muda. |
Sedikit menggusarkan
apabila melihatkan kecederaan Thamil Arasu dan Wan Zaharulnizam yang memaksa
kedua-dua pemain tersebut digantikan. HM A ketika ini sudah kehilangan beberapa
tonggak akibat kecederaan jangka masa panjang antaranya pemenang anugerah
Pemain Harapan dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan baru-baru ini, Junior
Eldstål serta pertahanan kental Kelantan, Nik Shahrul Azim Abd Halim.
|
D.Savindran meraikan kejayaan Rozaimi menjaringkan gol ketiga Harimau Muda. |
Kim Swee dijangka
bakal mengumumkan senarai 20 pemain yang bakal membawa cabaran negara untuk
cuba meraih hatrik pingat emas Sukan SEA dalam masa yang terdekat. Malaysia
diundi dalam Kumpulan A yang turut diisi Singapura, Vietnam, Laos dan Brunei.
Aksi sulung HM A adalah menentang Brunei pada 10 Disember ini.
No comments:
Post a Comment