Laporan oleh : Al Zaem
Matias Conti muncul sebagai wira Tok Gajah |
3 November 2013 , Shah Alam : Bukanlah hadiah
perpisahan terbaik buat jurulatih Kelantan, Bojan Hodak apabila skuad
bimbingannya itu tumbang kepada Pahang dalam perlawanan akhir Watson Piala
Malaysia 2013 hasil jaringan penyerang import, Matias Conti dalam aksi yang
berlangsung di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Gol hasil
tandukkan pada minit ke-58 oleh Matias Conti itu telah menamatkan penantian 21 tahun Pahang untuk menjulang Piala Malaysia dan memberikan kejayaan ketiga buat
pasukan yang digelar Tok Gajah itu setelah melakukannya pada tahun 1983 dan
1992.
Walaupun hujan
lebat turun sebelum dan ketika aksi babak pertama berlangsung, kedua-dua
pasukan Pantai Timur ini telah beraksi baik dengan Pahang dilihat lebih
menguasai tempo perlawanan. Gandingan Badhri Radzi, Shakir Shaari dan Zairo
Anuar Zailani jelas gagal menghadirkan gerakan yang baik buat jentera serangan
pasukan mereka.
Kegagalan jentera
tengah Kelantan ini adalah hasil kerja keras bahagian tengah Pahang yang
dikemudi Amirulhadi Zainal dan Hafiz Kamal serta keberkesanan benteng
pertahanan yang dibarisi ketua pasukan, Jalaluddin Jaafar, Razman Roslan,
Shahrizan Salleh dan bintang import, Damion Stewert.
Pahang
menggunakan sepenuhnya pemain sayap, R. Gopinathan dan R. Surendran untuk
mengasak kubu lawan disamping Azamuddin Akil yang bergerak bebas di belakang
Matias Conti serta telah menyukarkan benteng pertahanan Kelantan yang beraksi
tanpa kehadiran Obinna Nwaneri yang digantung perlawanan.
Minit ke-27,
percubaan jauh R. Surendren nyaris memberikan Pahang gol awal. Namun
percubaannya itu sekadar singgah di palang gol yang dikawal Khairul Fahmi Che
Mat dan tindakan susulan Matias Conti selepas itu sedikit mengecewakan apabila
tersasar dari gawang gol.
Beberapa minit
sebelum itu, pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Mohamed hampir menghadiahkan
sepakan penalti buat Kelantan apabila penyerang, Dickson Nwakame dijatuhkan
oleh dua pertahanan Pahang, Razman dan Damion Stewert. Namun setelah berbincang
bersama penjaga garisan, sepakan percuma diberikan kerana Dickson sebenarnya
dijatuhkan di luar kotak penalti.
Bermula babak
kedua menyaksikan jurulatih Pahang, Dollah Salleh melakukan perubahan taktikal
dengan mengeluarkan Surendran dan membawa masuk Mohd Fauzi Roslan untuk
bergandingan bersama Matias Conti di bahagian depan. Pahang kini menggunakan
dua penyerang dengan Azamuddin Akil menggerakkan bahagian kanan sayap yang
ditinggalkan Surendren.
Nyata perubahan
ini berkesan apabila Azamuddin Akil kerap kali berjaya merobek benteng
pertahanan lawan dari sebelah sayap kanan, antaranya gerakkannya bersama
Amirulhadi pada minit ke-56 yang akhirnya terpaksa diselamatkan pertahanan,
Azizi Matt Rose.
Dan selang dua
minit kemudian, Matias Conti berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran kemas
Azamuddin dari sebelah kiri gawang gol dan telah menewaskan Khairul Fahmi buat
kali pertama. Ternyata percaturan Dollah Salleh menjadi.
Sepuluh minit
menuju wisel penamat, Kelantan yang gemar melakukan ‘comeback’ di penghujung
aksi perlawanan telah mengandakan asakan namun usaha itu digagalkan oleh
kekebalan benteng pertahanan Pahang serta aksi baik yang dipamerkan penjaga gol
muda mereka, Khairul Azhan.
Khairul Azhan
sentiasa menggagalkan percubaan The Red Warrior antaranya asakkan terakhir oleh
Norfarhan Muhammad di penghujung perlawanan yang berjaya ditepis keluar
walaupun pertahanan sudah tertewas dengan umpanan daripada Indra Putra itu.
Misi kapten
Pahang, Jalaluddin Jaafar untuk menjulang Piala Malaysia sebelum bersara
tercapai serta misi Pahang untuk mengulangi kejayaan tahun 1992 berjaya
membuahkan hasil. Gagal mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi tahun
lalu, Kelantan masih boleh berbangga dengan Piala FA 2013 yang dimenangi mereka
pada penghujung Jun yang lalu.
Kelantan: Khairul
Fahmi, Azizi Matt Rose, Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Nik Shahrul Azim,
Zairo Anuar Zailani (Fakri Saarani), Shakir Shaari, Badhri Radzi (Mohd Faiz
Subri), Norfarhan Muhammad, Indra Putra Mahayuddin, Dickson Nwakaeme
Pahang: Khairul
Azhan, Jalaluddin Jaafar (Saifulnizam Miswan), Razman Roslan, Damion Stewart,
Shahrizan Salleh, R. Surendran (Mohd Fauzi Roslan), Hafiz Kamal, Amirulhadi
Zainal, R. Gopinathan (Mohd Faisol Hussain), Azamuddin Akil, Matias Conti
No comments:
Post a Comment