Laporan Oleh : Al-Zaem
Qatar memastikan slot akhir layak automatik Kumpulan D, Kelayakan AFC Piala Asia 2015 menjadi milik mereka apabila berjaya menundukkan Malaysia dengan jaringan satu gol di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Gol hasil jaringan pemain gantian, Al-Ali pada minit ke-65 sudah cukup membolehkan Qatar mengiringi satu lagi pasukan yang sudah mengesahkan slot automatik dari kumpulan yang sama iaitu Bahrain. Namun, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal sudah memberikan aksi yang harus dipuji.
Qatar memulakan aksi dengan baik apabila berjaya mengawal sebahagian besar aksi perlawanan menyaksikan skuad Harimau Malaya sedikit tenggelam dalam 20 minit pertama. Pemain sayap, Abdelkarim Hassan kerap kali menguji kekentalan pertahanan Malaysia dengan larian pantasnya.
Dua hantaran lintang kemas yang berjaya dihasilkan Abdelkarim pada minit ke-8 dan 16 berjaya diselamatkan penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat dengan tampanan yang baik. Khairul Fahmi juga berjaya menyelamatkan gawang dari dibolosi apabila penyerang Qatar, Ali Afif berjaya melepaskan rembatan ketika pertahanan negara dilihat sedikit leka di penghujung babak pertama.
Selain itu, S. Kunanlan juga tidak melepaskan peluang mempamerkan kemampuannya di bahagian sayap kiri pasukan negara. Beberapa gerakkan baik berjaya dihasilkannya namun gagal menemui gandingan penyerang, Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha yang dilihat tercari-cari rentak.
Safee Sali masih gagal menyerlah dan menghadirkan ancaman pada pasukan lawan |
Sebastian Soria yang dikawal ketat benteng pertahanan negara dari awal perlawanan akhirnya berjaya melorongkan satu umpanan cantik buat pemain gantian, Al-Ali untuk memberikan gol mudah buat Qatar pada minit ke-65.
Melihat Khairul Fahmi yang sedikit keluar dari posisi, Sebastian bijak melorongkan bola buat Al-Ali yang tidak dikawal menyaksikan pasukan pelawat berjaya mendahului. Tiga minit sebelum itu, penyerang terbanyak Qatar setakat ini dengan empat gol, Khalfan Ibrahim nyaris memberikan gol pendahuluan buat pasukannya, namun dinafikan palang gol.
Peluang skuad negara untuk layak sebagai pasukan ketiga terbaik pula kian tipis dengan Lebanon dari Kumpulan B dilihat sebagai pilihan utama kini. Jalan sukar yang dilalui akan berakhir dengan kunjungan ke gelanggang lawan menentang Yemen pada Mac tahun depan.
Malaysia: Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Aidil Zafuan, Amirizdwan Taj, Mahali Jasuli, Razman Roslan, Safiq Rahim, K. Gurusamy (Nazmi Faiz Mansor), S. Kunanlan (Azamuddin Akil), Norshahrul Idlan, Amri Yahyah (Nazrin Nawi), Safee Sali
Qatar: Saad Al-Sheeb, Mohammed Kasola, Hamid Ismael (Mosaab Mahamoud), Abdelkarim Hassan, Bilal Mohammed, Ibrahim Al-Ghanim, Wesam Rizik, Khalfan Ibrahim, Sebastian Soria, Ali Afif (Al-Ali), Hassan Al-Haidos (Mohamed El-Sayed)
No comments:
Post a Comment